Aku Bangga Dpt Kawin Dgn Org Kaya. Tapi Tulah Bila Kaya Harta, Miskin Kasih Sayang

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Cubaan membuat cerpen berbentuk diari. Harap dapat memberi kritikan yang bermanfaat untuk semua. Hayati lah.

11.11.2011 – Hari ini aku sah bergelar seorang isteri kepada seorang lelaki yang bernama Qaidir. Setelah enam tahun kami menyemai kasih. Akhirnya aku dan dia bersatu dalam ikatan yang suci. Aku bukan tak mahu mempercepatkan nikah. Tapi kami tak dibenarkan kahwin sebelum habiskan pengajian.

Aku dan dia berkenalan sejak Matrikulasi lagi. Malam ini aku dan dia tak dibenarkan berjumpa. Usai nikah tadi, rombongannya ke rumah tumpangan yang Ibu aku uruskan. Kata mereka esok bersanding. Jadi tak payah berkepit dulu. Ah, aku rindu suami aku. Terpaksa pendam saja rindu aku. Yang penting aku masih merasai kehangatan bibirnya tatkala mencium dahiku tadi. Aku bahagia. Itulah saat aku nantikan.

12.11.2011 – Aku dan dia bertemu lagi. Kami sedondon. Warna peach dipilih kerana suamiku mahu mengikut cara aku. Dia kata biarlah aku yang tentukan. Aku suka. Sebab dia tak cerewet. Mungkin selama enam tahun percintaan kami, dia sudah cukup memahami perwatakan aku. Aku suka bila dia begitu.

Kami diringi ke pelamin nan indah. Semuanya aku yang tentukan. Aku cukup puas hati. Aku bangga menjadi permaisuri biarpun cuma untuk satu hari. Dia masih tak hilang senyuman di bibir. Senyuman itulah yang buat aku jatuh cinta kali pertama. Okeylah, aku tak mahu tulis panjang lagi. Suami aku masih menanti. Selamat malam diari.

14.12.2011 – Lama aku tak tulis bukan? Aku sibuk menjalani kehidupan. Adanya suami aku pelengkap kebahagiaan. Aku sampai terlupa tentang buku ini. Dia sentiasa menemani aku. Senyumannya saja bisa membuat aku bahagia. Bagaimana bisa aku luahkan kepada kau diari? Sesungguhnya aku bahagia. Kenapalah aku tak kahwin sedari dulu lagi?

Cinta lepas kahwin sangat berganda kegembiraannya. Aku bahagia dengan pilihan hatiku. Oh lupa pula, aku dengan dia belum honeymoon. Masih terperap di rumah. Bila aku tanya dia, Qaidir akan jawab insyaallah akan datang. Aku jadi tak sabar! Teruja sangat-sangat.

7.1.2012 – Tahun baru yang bermakna kerana aku isteri orang. Bukan lagi anak gadis yang sentiasa menyelinap keluar dari asrama kerana nak keluar dating. Nakal sungguh aku. Kalau masa aku Matrikulasi, sebelum aku dengan Qaidir, aku selalu cemburu kawan-kawan lain. Pakwe datang jemput dan hantar. Naik motor dan kereta.

Lepas aku kenal Qaidir, giliran yang lain pula dengki. Qaidir anak orang berada. Keretanya mewah. Bukan seperti orang lain. Aku bangga saat itu. Selepas jadi isteri, aku tak pedulipun kereta apa suamiku pakai. Janji kami bahagia. Rindu aku pada zaman dulu.

20.1.2012 – Akhirnya, aku dan suamiku dapat honeymoon. Pertama kali aku menjejakkan kaki ke luar Negara. Venice. Kota percintaan orang kata. Sangat romantik. Sampaikan aku tak mahu pulang. Qaidir bawa aku ke sana cuma empat hari saja.

Dia sibuk. Syarikat bapa mertuaku kini hak dia sepenuhnya. Banyak dia kena uruskan. Aku cuba untuk memahami. Yang penting honeymoon ini sangat bermakna kerana empat hari itu dia tak diganggu dengan bebanan kerja. Hanya aku dan dia. Sayang abang sangat-sangat!

8.2.2012 – Aku mula terganggu dengan kerjanya yang menimbun. Adakala aku naik rimas sebab Qaidir membawa pulang kerjanya. Bukan aku tak mahu faham. Tapi aku tak suka dia menjadi workaholic. Aku sangat harap suamiku tak busy begini terus.

25.3.2012 – Hubungan kami makin renggang. Kali ini bukan isu kerja. Tapi isu anak. Bukan aku yang tak mahu anak. Tapi dia. Dia kata dia belum bersedia jadi bapa. Aku sunyi tiada teman. Dia balik rumah pun masih sibuk. Aku kebosanan. Bila aku mahu bekerja dia menghalang.

Dia kata dia mampu tanggung aku. Aku rimas dengan semua ini. Aku mahukan suami aku semula. Bukan suami yang panas baran dan workaholic begini. Tadi kami bertengkar lagi. Sampaikan dia kata, kalau aku mahukan sangat anak, cari anak angkat. Aku kecewa. Aku mahukan zuriat sendiri. Ya Allah, lembutkan hati suamiku.

1.4.2012 – Aku dan dia tak sehaluan. Dia pergi kerja saat aku belum bangun. Dia pulang kerja saat aku telah pun terlelap. Kadang aku tidur di sofa sikit pun dia tak endahkan. Kalau masa bercinta dulu, dia selalu cakap nak dukung aku kalau aku keletihan. Aku masih berharap dia boleh mengotakan janjinya. Aku harap sangat.

28.4.2012 – Hari ini entah mengapa aku teringin keluar. Aku bosan kerana Qaidir tetap setia dengan kerjanya. Aku telefon tak pernah angkat. Jadi aku tinggalkan sms saja. Aku tak mahu jadi isteri yang nusyuz.

Jadi aku meminta izin juga dengannya. Aku tahu dia izinkan. Aku faham perangai dia tak mahu diganggu sewaktu bekerja. Aku tengok wayang sendirian. Popcorn tidak aku beli kerana tak selera. Jika dulu, masa bercinta Qaidir akan belikan dan aku hanya tunggu untuk disuap. Kini aku sendiri.

29.4.2012 – Sesuatu telah berlaku. Aku nampak kelibat suamiku. Dengan perempuan lain. Muda. Aku cemburu. Ingin aku sapa, tapi aku bimbang aku akan memalukan suamiku sendiri. Jadi aku diamkan saja. Tangisan menemani aku sepanjang perjalanan. Malam ini aku sepi. Qaidir tak juga pulang. Aku tunggu. Aku mahu penjelasan darinya.

30.4.2012 – Aku dan dia perang besar. Benarlah seperti aku jangka. Dia punya perempuan lain. Dia kata dia sayang aku. Tapi dia juga sayangkan perempuan itu. Aku menangis. Aku kecewa kerana suamiku dah berubah. Qaidir tak mahu memilih antara dua. Dia sayangkan keduanya. Aku suruh dia lepaskan aku. Dia enggan. Aku tak tahu apa aku patut buat kini?

17.5.2012 – Aku dah buntu. Suamiku masih berjumpa perempuan itu. Raisya namanya. Aku cemburu. Mustahil seorang isteri tak cemburu. Qaidir suruh aku bersabar. Sabar dan lihat apa yang akan jadi seterusnya. Aku tak boleh sabar. Perkahwinan kami belum sampai setahun sudah goyah.

Aku benci rasa ini. Aku tak tahu mana nak tuju. Aku tak mahu cerita pada mak ayah di sana. Aku risau mereka akan risaukan aku. Aku nak cuba selesaikan masalah rumahtangga aku ini. Aku sayangkan Qaidir. Tapi aku tak boleh berkongsi suami. Aku tak sanggup!

21.5.2012 – Aku nekad. Aku ke Hospital Kajang. Berjumpa dengan seorang doktor. Aku kira dia sebaya dengan aku. Anaknya seorang. Aku cemburu. Aku mahukan ubat penenang. Ubat yang mujarab untuk tekanan perasaan aku kali ini. Sungguh aku tak malu kerana aku nangis berjumpanya tadi. Dia juga turut simpati dengan aku.

Aku tak tahu sampai kapan aku akan begini. Tekanan perasaan hanya kerana kaum sendiri. Aku tahu ramai akan cemuh aku sekiranya aku gagal pertahankan rumahtangga yang baru terbina ini. Aku tak tahu sampai bila aku mahu terus bergantung pada ubat. Suami aku tak tahu tentang ini. Aku tak mahu dia tahu. Langsung!

28.5.2012 – Aku tak tahu apa kesudahan kisah aku sebagai isteri Qaidir. Aku tak mahu tahu. Yang aku tahu aku tak mahu tamatkan kisah kami di sini. Aku tak sanggup jadi janda di usia muda. Aku tertekan. Aku sangat-sangat memerlukan teman bercerita.

Doktor psikiatri saja yang sudi mendengar masalah aku. Aku cuma bergantung pada dia setelah aku berdoa kepada Allah untuk tunjukkan jalan kepadaku. Aku harap Qaidir akan kembali padaku. Aku tunggu saat itu. Diari, aku mahukan suamiku semula. Aku mahukannya.

29.5.2012 – Sengaja aku lekatkan gambar cincin aku. Aku rindu saat itu. Ingat lagi masa nak tempah cincin nikah ni, dia tanya kenapa putih pink? Kenapa? Aku tak jawab terus sebab malu tengok orang yang handle tempahan kami. Ini rahsia aku dan Qaidir serta kau diari.

Sebenarnya, aku nampak amoi yang kerja tu pakai putih pink cincinnya. Sebab tu aku berkenan. Design memang lama dah aku nakkan. Ini untungnya suami kaya. Tapi sekarang, aku rela suami aku tak kaya. Hurm dugaan bukan? Yang kaya harta akan miskin dengan kasih sayang, yang miskin harta akan kaya dengan kasih sayang.

30.5.2012 – Aku makin rajin menulis kan. Sebenarnya, tadi aku jumpa doktor tu lagi. Dia bagi nasihat kat aku. Aku tahu dia hanya menjalankan tugasnya. Aku juga tahu pengambilan ubat macam ni tak elok. Aku stress. Dia bagi aku dua pilihan, sama ada minta fasakh atau relakan je bermadu.

Dia tak tahu betapa peritnya membuat pilihan. Dua-dua pilihan buat aku rasa nak bunuh diri. Aku benci akan pilihan! Akhirnya, aku menangis sendiri. Suami aku pulang tadi sedikit pun tak tanya khabar aku. Makin aku rasa sakit hati!

1.6.2012 – Setelah aku fikir lama. Aku jadi makin pening. Mana taknya, kalau aku nak failkan fasakh, sekurangnya aku kena ada RM 40,000. Itu upah peguam. Aku mana ada wang sebanyak itu. Memang suami aku kaya, tapi takkanlah aku nak minta duit darinya tapi nak minta cerai dengannya? Logik ke? Kalau tunggu kerajaan, entah bila aku dapat selesaikan urusan fasakh. Aku buntu dengan pilihan ini!

4.6.2012 – Lama aku renung akaun bank aku. Lebih kurang RM 27,000 semuanya hasil dari nafkah dan wang hantaran yang suamiku beri. Aku tak kerja demi dia. Ijazah yang aku terima aku simpan buat kenangan saja. Kadang aku menyesal kerana ikutkan kata suami.

Sekarang, kerja tak ada. Duit pun orang punya. Aku tak mahu gunakan duitnya. Aku rasa terhina. Aku isteinya, bukan perempuan simpanan yang mahukan duit semata-mata. Aku tak mahu nafkah zahir saja! Aku rindukan belaian mesra darinya. Abang, saat ini kolam air mataku tumpah lagi.

7.6.2012 – Aku keluar berjumpa kawan tadi. Kali ini aku tak memberitahu suamiku. Protes. Aku sengaja keluar malam. Supaya dia sedar aku tiada di rumah. Aku nak buktikan padanya aku juga wujud di rumah itu. Bukan sebagai tunggul tetapi isteri. Memang aku akui, dulu aku takut buat begini.

Tapi keadaan memaksa. Aku terpaksa memilih untuk jadi isteri yang tak baik. Oh, berbalik pada cerita perbualan aku dengan Syakira. Dia kata bermadu lebih baik dari bercerai. Dia buat aku terfikir semula. Arghh kusut!

8.6.2012 – Seperti yang aku jangka. Suami aku mengamuk sebab semalam aku balik masa dia dah tidur. Pukul berapa dia sampai aku tak tahu. Aku tersenyum puas masa menulis. Dia sedar ketidakhadiran aku. Dia sedar. Aku mahu dia sedar je yang aku isteri dia. Ya, Allah berikan petunjuk jalan untuk aku. Kini aku ada tiga pilihan. Apa dia? Esok aku cerita. Pipi sakit kena tampar dengan Qaidir tadi. Aku masih tersenyum walaupun ia sakit.

9.6.2012 – Kini aku ada tiga pilihan. Yang pertama aku cerai. Mestilah sedih bukan? Aku tawar hati nak minta fasakh sebenarnya. Aku sayangkan dia! Pilihan kedua ialah bermadu. Madu memang manis tapi bagi dia. Bukan aku. Aku tak nak payung emas. Sebab hati aku tak merelakan pun. Aku tamak. Aku nak dia. Tak mahu kongsi. Siapa nak kongsi suami kan?

Pilihan terakhir ialah aku merapatkan diri semula dengan dia. Aku mahu bercinta semula dengan dia. Mungkin kami terlalu lama bercinta hingga kemanisan cinta itu makin pudar. Tapi sekarang aku tak tahu nak pilih yang mana. 1, 2 atau 3? Kalau pilih yang ketiga, berjaya ke aku tawan hati Qaidir semula? Arghhhh! Runsing. Tolonglah aku.