Assalamualaikum pembaca budiman. Sedikit ringkasan, saya berusia awal 30-an dan Alhamdulillah dianugerahkan dengan kehidupan yang bahagia, keluarga mertua yang baik termasuk suami yang penyayang dan juga sepasang anak yang comel.
Tujuan saya menulis sekadar meluahkan perasaan yang dipendam berbulan-bulan lamanya dan minta pandangan pembaca-pembaca budiman berdasarkan pengalaman kehidupan masing-masing.
Benarlah bahawa kehidupan ini tidaklah selalunya indah. Keluarga mertua diuji apabila mama (ibu mertua) kurang sihat. Ayah pula, kadang-kadang tidak sihat. Mama insan yang sangat baik.
Anak-anak beliau seramai tujuh orang, kesemuanya mempunyai kehidupan yang sangat sempurna dalam semua aspek. Dan daripada tujuh orang itu, suami saya anak kelima dan merupakan satu-satunya anak lelaki tunggal.
Berbalik kepada kisah tadi, apabila mama kurang sihat, maka perlu keraplah hadir untuk rawatan susulan di hospital.
Mama hanya tinggal bersama ayah di rumah. Ayah boleh memandu dan membawa mama ke hospital. Namun mungkin di usia awal 70-an, mereka perlukan salah sorang daripada anak-anak untuk tinggal bersama.
Empat keluarga ipar tinggal berdekatan dengan mama, jauhnya lebih kurang 45 minit hingga sejam perjalanan. Manakala kami lagi tiga keluarga tinggal di lain-lain negeri.
Apabila masing-masing terikat dengan komitmen bekerja dan ada yang mempunyai anak-anak yang masih kecil,
Maka terkeluarlah cadangan daripada mulut salah seorang ipar untuk suami saya (tanpa pengetahuan saya pada mulanya) yang diharapkan untuk pulang ke kampung dan tinggal bersama ayah dan mama.
Alasannya, mereka masing-masing perempuan dan sudah tentulah perlu mengikut suami masing-masing. Tambahnya lagi, dia agak jauh (kurang sejam perjalanan) untuk berulang-alik dengan anak-anak kecil yang masih bersekolah dan perlu diuruskan.
Saya terfikir juga, adakah dia menyuruh suami saya berpindah tanpa isterinya.
Dengan erti kata lain, mereka perlu mengikut suami masing-masing dan kami suami isteri pula perlu berjauhan beratus-ratus kilometer kerana kekangan-kekangan yang dia hadapi untuk menjaga ibunya sendiri.
Atau adakah dia mengharapkan saya untuk berpindah ke sana dan meninggalkan ibu saya yang juga telah tua dan juga kurang sihat dengan jarak yang beratus-ratus kilometer untuk menjenguknya nanti.
Saya tahu betapa besarnya tanggungjawab seorang anak lelaki terhadap kedua ibu bapanya.
Dan saya juga terbaca, bahawa tugas untuk menyantuni ibu bapa yang kurang sihat ini bukanlah terletak di tangan anak lelaki semata-mata. Tanggungjawab menjaga yang sama berat juga untuk anak-anak perempuan terhadap ibu bapa mereka.
Saya tidak tahu apa yang telah Allah swt takdirkan untuk kami suami isteri pada masa hadapan.
Namun, saya sedikit terkilan dengan ipar tersebut di atas cadangannya terhadap suami yang tanpa sedar telah melibatkan kehidupan saya dan pada saya juga seperti cubaannya untuk melepaskan dirinya sendiri.
Suami setakat ini tidaklah memberikan apa-apa respon. Mana mungkin menidakkan kerana dia seorang anak yang baik dan tidak juga mengiyakan.
Sehingga ke hari ini saya terus terfikir, bersediakah saya, seoarng wanita yang bekerja untuk tinggal serumah dengan mertua dan akan hadir rasa ikhlaskah menjaga mertua untuk tempoh masa yang saya sendiri pun tidak pasti berapa lama.
Tentu juga akan sentiasa hadir bisikan syaitan yang akan mengatakan, mama masih ada anak-anak perempuan sendiri tapi kenapa aku yang perlu menemaninya sedangkan ibuku sendiri tidak dapat kusantuni.
Untuk berjauhan dengan suami itu memang tidaklah menjadi pilihan kerana saya tidak sanggup.
Terima kasih kerana sudi membaca coretan ini.
– Laila Isabella (Bukan nama sebenar)