Assalamualaikum semua. Terima kasih admin sebab siarkan perkongsian aku ni.
Hai nama aku Sufian. Aku anak nombor 2 dari 7 beradik. Sudah berkahwin dan mempunyai 2 orang cahaya mata.
Aku merupakan pekerja sektor swasta dalam industri perkilangan manakala bini aku seorang suri rumah sepenuh masa. Kami tinggal di bandar yang pesat membangun.
Ikutkan hati nak duduk dikampung tapi apakan daya peluang kerja lebih luas di bandar. Hidup kami agak simple. Buat masa ini kami masih menyewa rumah. Ada kereta perodua sebijik motor honda wave sebijik.
Seperti mana yang kita sedia maklum, pandemik COVID-19 amat memberi kesan kepada ramai orang terutama dari segi kewangan. Ramai diantara kita yang telah kehilangan kerja dan mata pencarian.
Syarikat aku sendiri mengurangkan hampir 30% daripada jumlah pekerja untuk mengurangkan kos operasi.
Aku jugak turut terkesan. Walaubagaimanapun alhamdulillah aku bersyukur sebab masih lagi diberikan rezeki untuk bekerja walaupun gaji terpaksa dipotong sejak PKP.
Harini aku nak kongsi pengalaman aku menukar cara pengurusan kewangan sejak awal tahun 2020 yang mana ianya adalah satu-satunya azam tahun 2020 yang tercapai setakat ni.
Aku mulakan dengan kisah dulu kala. Dulunya aku seorang yang sangat tak pandai nak uruskan duit. Boleh dikatakan aku bukan jenis yang boros tapi aku tak tahu nak uruskan duit dengan betul.
Boros ni bila dapat duit kau akan berjoli sakan beli macam-macam barang yang tak perlu macam perfume, jam tangan, kasut, tukar handphone dan macam-macam lagi.
Macam kes aku, aku jarang beli tu semua tapi lebih kepada keperluan seharian. Biasalah bila awal bulan je aku akan beli bekalan keperluan keluarga sampai penuh troli.
Sekali beli habis RM500 sedangkan sebenarnya aku tak perlu pun nak belanja banyak macam tu sekaligus.
Akhirnya bekalan berlebihan tapi duit gaji dah licin. Aku dah belanjakan duit gaji tanpa memikirkan hari mendatang. Sampai satu masa bila sampai tengah bulan poket dah kering.
Bayangkan baru tengah bulan duit dah licin. Pastu mula la muram bila nak isi minyak motor pun kena korek duit syiling celah sofa. Ye aku pernah melalui pengalaman tu. Aduh! sengkek habis.
Aku bagitau bini tentang permasalahan ini. Kami pun duduk berbincang suami isteri dan bini aku nasihat supaya kami ubah cara berbelanja mulai saat tersebut.
Masa tu baru la aku sedar yang cara perbelanjaan aku tak betul. Mujur jugak bini aku jenis yang tak boros.
Bini aku dahulukan duit simpanan dia sementara tunggu gaji bulan depan. Cerita ni berlaku tahun 2019. Start bulan Januari 2020 aku berubah.
Ok berbalik semula kepada duit gaji. Sebelum PKP gaji aku setelah ditolak semua komitmen berjumlah RM2000.
2000 tu lepas dah tolak ansuran kereta, motor, sewa rumah, bil api, bil air, bil telefon dan SSPN anak RM50 seorang. Lepas tu tolak untuk family RM600 (family sendiri dan mertua).
Nak singkatkan cerita aku amik yang musim PKP la ye. Nanti lagi panjang pulak kalau cerita dari awal. Tapi basic cerita dia sama je. Lepas kena potong gaji aku ada la baki dalam RM1600.
Dapat gaji je aku akan bagi RM600 kat orang tua aku dan mertua. Keluarga kami keluarga besar so masih ramai tanggungan.
Walaupun gaji dah kena potong, aku tetap maintain bagi jumlah yang sama kat family aku dan mertua. Kat bini pulak aku bagi RM200 sebulan. Duit tu pandai-pandai la dia buat belanja.
Selalunya dia akan beli keperluan diri, baju dan keperluan anak-anak. Tapi bukan tiap-tiap bulan dia membeli. Ada jugak dia menyimpan dalam ASB.
Masuk bab belanja pulak. Aku tukar sikit cara berbelanja. Instead of belian secara pukal sekaligus aku divide dalam bentuk perbelanjaan mingguan.
Setelah ditolak duit pada orang tua dan bini maka duit baki aku tinggal RM800. Aku akan bahagikan siap-siap perbelanjaan mengikut minggu.
Sebulan kan ada empat minggu. Aku dah setkan dalam kepala otak seminggu hanya boleh belanja RM150. Semua perbelanjaan aku setkan secara mingguan. Aku akan cucuk duit kat ATM hari ahad malam untuk kegunaan seminggu mendatang.
Dari RM150 yang aku keluarkan itulah aku guna untuk isi minyak motor pergi kerja, minyak kereta hantar anak pergi sekolah, beli lauk pauk termasuk keperluan dapur (aku bawak bekal dari rumah, kadang-kadang beli jugak kat kedai).
Seboleh-bolehnya aku akan pastikan belanja aku tak lebih dari RM150 seminggu jadi jumlah belanja untuk sebulan adalah RM600. Hujung minggu kalau ada duit lebih boleh la beli KFC atau Mcd. Pandai-pandai la aku adjust yang mana patut bagi ngam.
Eh! 1600 – 600-600-200 ada “baki” lagi RM200 kan? “Baki” tu kau buat apa? Aku asingkan siap-siap dalam bank lain.
Kalau nak diikutkan pengiraan atas kertas memang nampak ada “baki” tapi dalam kehidupan sehari – harian agak susah nak apply “baki” ni sebab “baki” RM200 itu lah yang akan aku standby kalau-kalau ada keperluan terdesak nak guna duit.
Contoh nak bawak anak pergi klinik, repair tayar bocor, servis kereta, atau balik kampung. Konsepnya adalah kau perlu ada duit untuk hal-hal yang tak dijangka.
Macam aku cakap tadi, belanja berpada-pada. Belanja ikut keperluan bukan ikut kehendak. Alhamdulillah setakat ni aku tak perlu pinjam duit dengan sesiapa.
Masa moratorium haritu dapat la jugak menyimpan sikit-sikit. Duit tu aku plan nak guna untuk bayar roadtax kereta dan motor nanti. Pastu nak bayar yuran sekolah anak-anak sekali.
Dah hujung tahun ni yuran tahun depan nak kena standby dah. Kalau nak harapkan gaji aku memang tak cukup.
Alhamdulillah setakat yang aku praktik cara ni berkesan dan aku mampu survive.
Apa yang membuatkan aku lebih bersyukur adalah Allah S.W.T menguji aku diwaktu sebelum menularnya kes COVID di negara kita dan PKP dilaksanakan. Sekurang-kurangnya aku sempat berubah kearah kehidupan yang lebih stabil.
Secara jujurnya aku tak tahu sejauh mana keberkesanan cara ini kat orang lain tapi bagi aku cara ni amat berkesan untuk aku survive di musim yang serba mencabar ni. Aku rasa ada juga dikalangan korang yang berbelanja macam aku.
Jadi aku harapkan perkongsian aku ni serba sedikit dapat membantu korang untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik.
Ni sekadar perkongsian dari aku, kalau tak betul mohon tunjuk ajar. Mungkin ada diantara korang yang ada cara yang lebih berkesan boleh kongsi utk tatapan umum juga.
Terima kasih sebab sudi baca.
– Sufian Halim A. bakar (Bukan nama sebenar)