Anak-anak berusaha ambil hati tapi apa yg saya lakukan. Mengapa susah untuk mengawal diri

Assalamualaikum. Entah kenapa, semasa saya baca confession “Ibuku Derhaka” , saya seperti terbaca watak saya sendiri sebagai ibu kepada confessor itu.

Cuma, bezanya saya masih muda, baru pertengahan 30an. Saya ada 4 anak 3 lelaki dan seorang perempuan umur 3, 6, 7 dan 10, sekarang seorang surirumah. Sebelum ini pernah bekerja dalam bidang yang sibuk dan stress.

Ya, saya akui satu persatu sikap ibu confessor sama seperti saya. Saya terlampau garang dengan anak-anak. Anak-anak lelaki saya boleh dikatakan boleh tahan buas tapi masih lagi kategori baik.

Tapi, boleh la bayangkan kebuasan anak-anak lelaki tahap macammana. Dengan rumah bersepah, suruh kemas balik apa yang mereka sepahkan, mereka buat tak tahu. Akhirnya, saya akan mengamuk hampir sama seperti mak confessor.

Saya pernah rotan, tarik rambut anak-anak, saya pernah heret anak, tampar pun pernah dan ya the worst thing, saya pernah kejar anak-anak dengan pis*u. Allahu… Dan, selepas itu saya akan menyesal. Semasa saya buat semua tu, saya macam hilang pertimbangan.

Dengan suami, pun sama, saya selalu menengking, memaki, baling barang dan sebagainya. Cuma, saya tak pernah pecahkan perabot seperti mak confessor buat. Suami saya bermasalah?

Tidak. Dia suami yang sangat baik. Cuma, kekurangan dia ialah dia suka melawan balik, meninggi suara juga dengan saya. Saya membebel, dia melawan balik bebelan saya tanpa henti sampai saya baling kerusi atau periuk besi yang menghasilkan bunyi kuat.

Sebelum itu, biasanya saya dah jerit suruh dia diam sebab saya tak nak hilang pertimbangan tapi biasanya suami saya berdegil juga. Dan, ya, saya akan hilang pertimbangan.

Jika dia diam, saya akan dapat sejukkan diri. Saya selalunya hanya minta dia jangan menambah minyak lagi semasa saya marah. Tapi, Wallahi bab lain dia sangat baik.

Nafkah zahir cukup dan dia sangat bertanggungjawab. Dia juga rajin membantu kerja rumah di hujung minggu dan jika saya penat atau tak sihat, dia tak paksa saya untuk memasak.

Tapi, saya tetap akan cuba memasak dan sedia makan keluarga setiap hari. Ya, saya akui saya rasa saya ni bini derhaka walaupun saya tak nak jadi bini derhaka.

Semasa saya baca confession Ibuku Derhaka dan baca komen-komen, saya sedar saya sakit. Tapi, saya tak jelas punca sakit saya. Kerana kerja ke atau post-partum sebab jarak usia anak-anak saya dekat.

Cuma, saya akui sebelum saya resign, saya memang sangat penat mental kerana keadaan kerja saya yang sangat stress. Dan, saya sedar saya berbeza di awal perkahwinan sebelum ada anak dan setelah ada anak. Saya cuba berubah tapi susahnya nak berubah…

Tiada siapa nak jadi macam ni, menyakiti emosi dan fizikal orang-orang yang paling disayangi. Saya pernah terlibas tali pinggang ke muka anak sulung masa nak libas betis anak yg lain, saya menangis masa tu sebab meninggalkan kesan.

Berulang kali saya minta maaf dekat anak sulung saya ketika itu. Kadang-kadang apabila anak-anak bergaduh, saya cuba pekakkan telinga kerana saya tidak ingin naik marah.

Kadang-kadang saya kunci diri saya dalam bilik. Sebab saya tak nak naik angin. Saya juga tak nak cederakan emosi anak-anak saya dan semestinya fizikal mereka.

Saya sayangkan keluarga saya sungguh-sungguh. Tapi, apabila saya marah dan hilang pertimbangan, saya tetap lakukannya.

Saya selalunya cuba warning elok elok dulu anak-anak apabila mereka bergaduh, jangan bagi Ummi marah, nanti Ummi naik gila.

Kadang-kadang mereka dengar, kadang-kadang mereka tak dengar. Hanya apabila saya menjerit sekuat hati barulah mereka terdiam.

Ya, saya jerit sekuat-kuatnya, jiran sendiri akui selalu dengar suara saya yang kuat. Saya malu tapi semasa kejadian, saya tak boleh nak fikir dah masa tu.

Yang paling saya risau, suami sendiri seolah-olah mula jadi garang dengan anak-anak apabila anak-anak bergaduh. Seolah-olah terjangkit dengan sikap saya. Saya risau suami juga jadi stress kerana saya.

Yang sedihnya, apabila saya tengok kadang-kadang anak-anak berusaha ambil hati saya dengan buat lawak dan sebagainya supaya mood saya sentiasa okay.

Saya akui saya ni seolah-olah jarang senyum, jarang bergelak ketawa dengan mereka kecuali di hadapan orang lain, rasa nak marah je sepanjang masa. Apabila saya senyum atau gelak, mereka nampak seronok sangat.

Apabila datang kesedaran saya, saya akan senyum, saya cuba bergurau, saya panggil mereka dan peluk semua anak-anak saya dan cakap saya sebenarnya sayang sangat mereka.

Saya cuba baca parenting, saya cuba apply, saya cuba hanya denda pandang dinding sahaja. Tapi, hanya bertahan sekejap sahaja. Saya mengaji, solat, dengar ceramah kerana nak berubah.

Tapi, masih belum berjaya. Saya pernah buat test depression, jawapannya saya ada simptom depression. Saya bagitau suami saya tentang test ni, tapi suami sendiri clueless macammana nak dapatkan bantuan untuk saya.

Cuma, semenjak saya berhenti kerja, saya perasan saya lebih happy, relaks dan tekanan saya sudah berkurang. Tiada dah tidur mimpikan hal kerja. Cuma, bengis saya masih datang apabila anak-anak bergaduh dan apabila suami cari gaduh ngan saya.

Saya tau saya perlukan bantuan dan rawatan tapi saya tak tau macammana. Saya tak tau caranya. Saya tak tau nak mula dari mana. Suami sendiri clueless. Saya minta maaf jika confession saya ni mengundang kecaman.

Saya sedar saya akan dikecam teruk. Kata-kata nasihat saya dahului dengan ucapan terima kasih. Saya sedar saya ibu yang teruk dan isteri yang derhaka.

Terima kasih kepada anak kepada watak ibu dalam “Ibuku Derhaka” kerana trigger saya untuk meluah apa yang terpendam.

Saya akan cuba berubah dan saya memang nak berubah semenjak dari dulu. Saya berhenti kerja juga salah satu usaha saya untuk berubah sebenarnya cuma masih belum berjaya.

Akhir kata, doakan yang terbaik untuk saya.

– Nur (Bukan nama sebenar)