Anak Muda perlu ada simpanan dan Emas. Belanja jangan lebih dari kemampuan

Terlebih dahulu, niat saya. Share hanya untuk berkongsi dan bagi semangat untuk adik-adik. Tak semestinya ikut cara saya, tapi mungkin boleh jadikan inspirasi.

Sedikit pengenalan tentang diri saya. Saya anak bongsu daripada tiga beradik dan datang daripada keluarga yang sederhana. Abah meninggal ketika saya masih di sekolah rendah manakala ibu saya pula bekerja sebagai tukang masak.

Saya telah diasuh untuk menguruskan duit dengan berhemah sejak kecil lagi. Saya mula bekerja di Kuala Lumpur pada tahun 2012. Waktu tu gaji bersih hanyalah RM2200.

Awal-awal lagi saya sudah memasang strategi untuk menguruskan gaji saya dengan optimum. Saya bukan mahu mengejar kekayaan, tetapi cukuplah asal saya tidak dibebani dengan hutang kelak dan untuk kegunaan di hari tua nanti.

Dan medium yang saya bercadang untuk guna adalah dengan menyimpan emas, tabung haji dan asb. Kenapa? Sebab saya rasa ianya mudah.

Saya akan ceritakan dengan lebih lanjut sebentar lagi. Tapi sebelum itu, saya akan ceritakan apa yang saya buat pada tahun pertama saya bekerja.

Saya sewa bilik, berkongsi dengan 2 rakan yang lain. Kos sewa+utiliti adalah RM350. Setiap pagi saya akan sarapan dengan roti planta/ biskut cicah air teh o/ lempeng bawang.

Saya juga akan masak bekal makan tengah hari. Makanan yang sama untuk makan malam juga. Saya perbanyakkan puasa sunat.

Berpuasa bukan sahaja boleh jimatkan belanja, tapi boleh juga terbitkan rasa rendah diri dan bersyukur dalam diri kita. Saya beli baju, kasut dan beg di bundle. Kos makan, pakaian, transport dan sedikit kos untuk hiburan sebulan RM500 (saya naik ktm untuk ke ofis).

Setiap bulan juga saya hulurkan ibu RM200 walaupun ibu tak minta. RM150 saya masukkan di dalam tabung ‘Belanja’. Kalau nak beli tiket balik kampung, atau ada hari jadi kawan contohnya, saya akan guna duit dari tabung ini.

Baki RM1000 saya simpan dalam akaun berasingan. Saya pastikan saya ada online banking untuk akaun ini supaya saya boleh lihat simpanan saya bertambah. Ini penting sebagai penguat semangat saya.

Jika ada baki duit makan, saya akan masukkan dalam tabung ‘Belanja’. Selalu ada lah dalam 30-50 baki saya dapat. Segala duit OT yang saya dapat, saya tak usik dan simpan.

Selama setahun saya hidup secara minimalist dan lean lifestyle, saya berjaya kumpul RM14k dan tabung Belanja saya ada RM1k.

Oh ya, lupa nak cakap, saya tak ada hutang belajar (dapat biasiswa MARA), jadi saya tak perlu bayar tiap-tiap bulan.

Bulan 1 tahun 2013:

– Saya masukkan RM6k ke dalam Tabung Haji.

– RM4k saya guna untuk buka akaun ASB.

– RM1k saya hadiahkan untuk ibu

– RM1k saya tambah tabung Belanja

– Baki RM2k saya guna untuk beli subang + 2 cincin emas. Saya lupa harga emas berapa pada masa itu tapi jumlah berat emas yang saya beli dalam 12g+- (ada baki lagi duit bajet saya tu, saya lupa. Tak apa, kita assuma saja saya guna habis).

Tahun kedua bekerja, saya lebih flexible. Walaupun masih berjimat cermat, saya ada tambah peruntukan untuk menderma (rumah anak yatim, tabung bencana etc).

Tahun kedua ada kenaikan gaji, dan saya simpan separuh dari kenaikan itu, manakala separuh lagi saya tambah duit untuk ibu.

– Bulan 6, saya ke ar-Rahnu dan gadaikan barang kemas saya. Duit yang saya dapat, saya beli gelang pula (satu gelang padu 8g+-).

Bulan 1 tahun 2014: Saya ada 12k simpanan dan tabung Belanja saya pada waktu itu ada 3k. Macam biasa saya pecahkan ke akaun-akaun berikut:

– Tambah TH RM4k

– ASB 2k

– Bonus untuk ibu 1k

– Tebus BK dalam 2k

– Tabung Belanja 1K(pada waktu ni saya dah ada satu akaun khas untuk Tabung Belanja, bukan cash semata-mata)

– Baki 2k saya buka satu akaun baru sebagai ‘Tabung Masa Depan’).

– Bulan 6 2014 say ke ar Rahnu dan gadai BK saya. Kemudian saya beli satu rantai yg agak berat sedikit(berat 30g,dan untuk beli tu saya guna duit gadaian+tambah duit saya).

Bulan 1 tahun 2015: Saya berjaya simpan RM10k dan Tabung Belanja ada RM3k

– Lebih kurang RM3.5k untuk tebus BK

– RM5k untuk simpanan Masa Depan

– RM1.5k masuk akaun TH

– RM1k masuk ASB

– Duit dari tabung Belanja RM1.5k saya hadiahkan untuk ibu

Sehingga tahun 2015, saya telah memiliki 50g BK, simpanan TH RM12k+-, ASB RM8k+-, simpanan Masa Depan RM7k dan tabung belanja RM1.5k. Saya hidup selesa dengan gaji yang sederhana dan tidak dibebani hutang.

Dan pada tahun 2015 juga saya dipertemukan jodoh dengan suami saya. Banyak kali ke ar Rahnu, Allah temukan jodoh dengan orang yang kerja ar-Rahnu.

Alhamdulillah suami pun suka dengan cara saya menyimpan dan join saya kumpul BK. Kami sama-sama jenis yang cermat berbelanja.

Selepas berkahwin, saya kurangkan simpanan atas tuntutan tanggungjawab yang bertambah, tapi setiap tahun suami akan belikan BK sebagai hadiah.

Sehingga kini, saya pernah menggunakan hasil gadaian BK untuk tampung kos bersalin emergency czer, kereta pernah rosak dan perlukan major repair, bantu ibu baiki rumah rosak dan macam-macam lagi.

Dalam tempoh negara dilanda pandemik covid19, saya telah dipotong gaji sebanyak 40%. Alhamdulillah masih belum mengusik simpanan, cuma banyak potong belanja dan susun semula kewangan keluarga. Duit gadaian BK saya jadikan simpanan kecemasan.

– Rule untuk menggadai BK adalah mampu simpan duit untuk tebus selepas 10 bulan, ataupun sekurang-kurangnya boleh tebus separuh+bayar upah simpan untuk BK yang tinggal.

Nasihat saya untuk adik-adik yang baru mula bekerja ialah, simpan dulu, belanja kemudian. Waktu tak ada komitment ialah waktu terbaik untuk maximizekan simpanan.

– Jangan lupa ibu ayah dan keluarga juga. Spend sedikit untuk mereka, Insyallah dapat keberkatan kat situ.

– Jika adik-adik berminat nak simpan BK, silakan. Saya berjaya kumpul 150g BK. Tapi yang say pakai hanya lah seutas gelang tangan hadiah daripada suami, sepasang subang paku dan seurat cincin. Bukan apa, takut kena rompak.

– Bila simpan BK, urusan zakat jangan lupa jika sudah cukup timbangannya.

– Yang paling penting, jangan berbelanja melebihi kemampuan.

– Erni (Bukan nama sebenar).