Sya tak kisah kalau work overload tpi bila masalah dgn manusia, mmg stress. 2 ketul manusia tu mmg buat sya brtindak mcm ni

Menginjak masuk dunia dewasa dan sudah bertahun-tahun di alam pekerjaan, agak sukar untuk saya kekal untuk menjadi baik. Terlalu banyak dugaan dan semuanya berpunca daripada manusia.

Saya didedahkan dengan dunia kerja ini ketika praktikal, lebih kurang 7 tahun lalu. Ada 2 tempat saya perlu pergi setiap hari,

awal pagi, pejabat untuk touch attendance card dan taklimat daripada bos , kemudian ke loji sehinggalah waktu balik petang, 5 petang.

Saya dan rakan-rakan lain memang lagi suka ke loji kerana kurang polititk ofis dan pekerja-pekerja di loji banyak membantu dan memang mereka sangat fokus bekerja.

Paling saya tidak suka adalah di ofis kerana setiap hari, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda, pukul 8 pg bersembang di kafe, dan masuk ofis balik 9.30, lepastu pukul 10 keluar lagi, minum pagi kononnya, sampailah pukul 11.

Lepas itu keluar tengahari makan , masuk ofis pukul 3, pukul 4.15 dah balik padahal patut balik pukul 5.

Adakala, kami perlu duduk di pejabat untuk menolong staf-staf menyelesaikan kerja mereka, padahal kerja tu patut selesai sekejap saja tanpa pertolongan kami.

Pernah sekali, ada minggu audit, kelam kabut mereka kerana banyak dokumen-dokumen dan bil-bil yang tidak selesai dan perlu update secara manual dan dalam sistem komputer,

kamilah yang kena tolong selesaikan bil-bil tersebut, malahan ada bil-bil yang dah bertahun2 mereka biarkan saja, maknanya kalau kami tak tolong, tak mustahil semua tu tertunggak banyak lagi.

Jadi seminggu tu, kami selalu balik lewat, yang kelakarnya rata-rata pekerja semua dah balik. XD

Disebabkan di loji kami banyak naik turun tangga, kami membuat keputusan untuk pakai kemeja dan seluar saja,

senang untuk kami naik tangga ambil sampel air untuk analisis di makmal, tangga sangat sempit dan tinggi dan kolam takungan air semuanya lebih dari 4 meter kedalamannya, lebih praktikal untuk memakai seluar untuk tujuan keselamatan.

Itu pun menjadi isu besar untuk makcik2 ofis, katanya tak sopan tak pakai baju kurung. (-_-) Rasanya mereka itu tak pernah pergi ke loji selama ini.

Satu lagi, saya betul-betul tak faham, tak kiralah mana-mana pun, kawan-kawan saya yang berada di mana-mana negeri di Malaysia mengatakan masalah sama di tempat kerja mereke, mesti ada lelaki yang dah berkahwin tapi masih lagi gatal merenyam untuk kenal-kenal.

Tahu sajalah kami semua masih muda tapi tolonglah perangai tu biar kena dengan status. Waktu itu, saya yang agak naif agak terkejut dengan budaya gatal merenyam dan lagi terkejut orang-orang dewasa biarkan saja walaupun terjadi di depan mata mereka.

Sepertinya, budaya main kayu tiga sangat-sangat biasa di ofis ya? Dan perempuan yang melayan tu makhluk jenis apakah?

Sama juga perempuan berkahwin yang gatal merenyam yang kelaparan anak teruna. Mana hilangnya kompas moral mereka?

Habis belajar, selang 2 tahun kemudian, saya ke ibu kota Kuala Lumpur. Pejabat saya, swasta, bahagian management kebanyakannya non-muslim.

Mereka baik dan cekap buat kerja, malahan ambil cakna tentang solat muslim, pabila masuk solat, mereka akan take-over sekejap tugas saya dan waktu itu, saya akan solat dan rehat sekejap.

Berlainan pula dengan rakan sekerja yang sama pangkat dengan saya, muslim juga, Melayu, waktu awal-awal saya masuk 2 makhluk ini kononnya kerana ingin melatih saya yang baru,

beri alasan mereka akan menyerahkan semua tugas kepada saya dan pandai-pandailah saya survive and manage.

Tanpa guideline, saya terkapai-kapai dan banyak buat silap. Dan waktu itu, kami ada group chat untuk live update mana tugas dah selesai,

kalau saya buat silap, mereka memaki-hamun saya dan mencarut macam-macam, panggil saya bodoh, tidak berguna.

Bayangkan, dalam group chat itu, berpuluh2 staf ada, dari semua department, dan semua secara free dapat tengok saya dimalukan live.

Tapi bila saya point out kesalahan mereka berdua, tahu pula mereka senyap dan langsung tidak membalas dalam chat itu. Last-last yang menyelesaikan kesilapan mereke sayalah.

Silap saya, nature saya tidak suka cari masalah dan tidak berkira. Tapi lebih kurang 6 bulan bekerja, alasan mereke konon-konon nak melatih saya, mereka ambil kesempatan.

Kami ada 2 waktu, seorang datang pagi, yang lain-lain akan datang tengahari. Tapi selalu saya yang kena datang pagi, dan 2 orang itu datang pukul 3, yang sepatutnya datang pukul 12.

Jadi bayangkan selama 6 bulan, saya yang handle banyak kerja, mereka hanya kerja selama 4 jam.

3 bulan pertama, saya suarakan masalah ini pada pihak management, tapi tak boleh buat apa sebabnya 2 makhluk tak berguna ni sudah lama bekerja dan favourite bos saya.

Bos saya pula jenis baik dan tak suka cari masalah. Dan manager2 pun tak boleh buat apa sebab makhluk2 ini pandai menjawab dan cover silap mereka.

Dekat chat group bukan main bising, “Oh, tape bos biar saya handle” tapi sebenarnya mereka berada dirumah, sayalah yang terkejar-kejar selesaikan kerja.

Yang jenis kepoh mcm 2 orang ini, memanglah raja dalam group tu, bukan main taip, konon buat kerja, tapi semua orang tahu mereka di rumah. Banyak lagi masalah mereka, sampai 6 bulan itu, saya turun berat badan 10 kg sebab overwork.

Saya letak jawatan secara drastik sebab saya fikir, dah adu dekat HR, manager, dan bos tapi tak ada penyelesaian, mental dan fizikal saya semakin tidak okey kerana 2 makhluk itu. Self-esteem saya low sangat2 sebab kena mental torture tiap-tiap hari.

Bos saya merayu minta saya fikir sekali lagi dan berjanji naikkan gaji, tapi dah terlambat.

Dan saya tahu bos takkan buat apa-apa dekat makluk2 itu sebab skill mereka bagus, cuma mereka tak ada etika dengan manusia.

Manager2 pun terkilan sebab tak boleh tolong saya, mereka yang selalu backup saya ketika 2 orang itu tak buat kerja. Waktu minggu terakhir saya bekerja, makhluk2 itu senyum-senyum minta maaf.

Dua perempuan tak berguna itu, menutup periuk orang tanpa rasa bersalah, maaf, sampai mati saya takkkan maafkan. Hanya Allah saja yang tahu impak semua perbuatan mereka itu. Terlalu banyak.

Saya membuat kesimpulan, semakin dekat kiamat, semakin ramai manusia ke arah kejahatan. Susah sangat untuk saya kekalkan kebaikan kerana manusia2 sekeliling yang selalu cari pasal.

Dan susah juga untuk jumpa yang baik-baik. Semakin tua, semakin saya menjadi dingin disebabkan spesies homo sapiens ini.

Bukan saya mengharapkan manusia berkualiti, tapi at least, minimum, tolonglah jadi manusia yang mempunyai moral dan etika.

Kalau saya buat kerja dengan amanah, tapi rakan-rakan sekerja tidak, memang akan efek performance. Sebab saya fikir tak adil bagi saya lagi2 kalau team performance diambil kira sebagai penilaian.

Bagi saya, work overload tak apa, sebab ia kerja, sampai bila-bila kerja takkan selesai, siap hari ini, esok ada lagi, buat saja. Tapi bila masalah dengan manusia, memang stress.

Bagi saya, kalau dah dapat kerja tu , biarlah amanah. Kalau ada yang terbabas datang lewat, main kayu tiga, gatal merenyam, gangguan seksual, tolonglah cakna, tegurlah, Jangan buat benda tu konon2 benda biasa bagi orang dewasa.

Dan saya tak suka ayat, “Alah biasalah tu, semua orang kena.” No, tu bukan biasa, itu salah dari segi moral.

Dan yang suka cari pasal tu, saya tengok, memang hidup takkan tenang, ada saja masalah. Berhenti sekejap, fikir balik, adakah anda menjalani kehidupan dengan cara betul hari ini? Hablum minallah, hablum minannas.

p/s: kalau ada yang mengalami masalah di tempat kerja, sila cerita, at least saya tahu bukan saya seorang menderita. XD

– Ms. Compass