Assalammualaikum. Saya tertarik dengan cerita pasal cik adik kita yang ada PCOS tu. Saya setuju dengan dia bila kita kena berubat kalau dari awal kita dah Nampak ada masalah yang kita hadapi.
Nak-nak kalau melibatkan bab perempuan. Saya tak ada masalah PCOS tu (kot). Tapi ada masalah susah nak mengandung dan masalah melambat-lambatkan rawatan. Haish.
Saya dah kahwin 8 tahun. Tapi masih belum ada rezeki anak. Sebelum kawin badan saya berat 53 kg. tinggi 157cm. Ideal saja. Tak kurus tak gemuk.
Bila dah kawin, masuk tahun ke dua badan naik pulak dah. Kuat makan agaknya. Padahal sebelum kawin pola makan sama saja. Haha. Orang kata percampuran suami isteri tu yang sebabkan badan kita naik. Entah la ya.
Masa tahun kedua tu jugak saya gugur. Masa tu benih sangat kecil. Ok tak ada rezeki. Kami suami isteri redha saja. Lagipun tak tahu masa tu mengandung. Tup tup gugur saja.
Masuk tahun ketiga dan seterusnya masih belum ada tanda. Saya dan suami buat pemeriksaan kesuburan di klinik pakar wanita kat Cheras.
Sesi ambik drah saya untuk cek semua dilakukan. Lepas dua minggu datang balik klinik doctor bagitahu telur saya jenis tak matang. Maknanya tak normal macam perempuan lain yang subur dan sebagainya.
Sedih juga. Menitis air mata saya bila tahu saya ni tak normal sebagai perempuan. Tapi doctor kata jangan risau. Ada ubatnya. Iaitu pil subur.
Doctor pun bagi saya pil subur untuk dimakan selama 7 hari untuk permulaan dengan dos yang kurang. Permulaan kan.
Doctor bagi jaminan saya akan pregnant kalau consume pil tu sampai habis ikut aturan yang betul. Oh ya. Ujian untuk suami saya menunjukkan dirinya sihat walafiat saja. Tiada masalah apa-apa.
Berhasil? Hampa nampaknya. Tiada pembenihan yang subur berlaku. Saya mungkin jenis cepat putus asa atau dengan kata lain, ah malaslah aku. Lantaklah. Haha ! so saya stop consume apa-apa ubat pun. Sudahle mahal pil tujuh biji tu.
Akhirnya saya ambik keputusan untuk let it be natural saja. Saya cuma consume makanan sunnah. Bersenam dan jaga makan.
Untuk pengetahuan, saya tiada masalah kitaran haid. Haid saya normal 27-29 hari kitaran dengan kuantiti darah yang normal dan warna tidak gelap.
Saya tidak mempunyai masalah senggugut. Mungkin masalah telur tak matang adalah punca. Tak apa. Saya pasrah saja.
Dah masuk 8 tahun ni, dan umur pun dah 3 series, saya mula rasa terhegeh-hegeh nak buat rawatan semula. Saya takut juga kalau ada masalah lain seperti PCOS ke, cyst atau endo.
Walaupun saya tiada symptom penyakit-penyakit tersebut, namun pemeriksaan dan rawatan sangat perlu dibuat bila dah cecah satu dekad masih takdak anak ni oiiii.
Selain dari masalah kesihatan secara saintifik, ramai juga orang suruh saya buat rawatan alternatif.
Jumpa Ustaz/Ustazah dan pergi Darussyifa. Ya saya tahu saya ada masalah berkait alam ghaib di mana saya kerap Nampak lintasan, mimpi baby menyusu dan main-main dengan saya dan badan saya jenis sangat panas.
Tapi saya lebih suka mengatakan setiap yang terjadi adalah kehendak Allah dan Allah lebih berkuasa. Saya pernah ke Darussyifa untuk buat rawatan. Tapi takde apa yang berlaku dan saya masih begini.
Saya akui tersentuh bila tengok kawan-kawan dan sepupu-sepupu yang dah kawin dan dapat anak cepat. Memang tersentuh.
Dan memang rasa annoying dengan makcik bawang berakar yang tak habis-habis bertanya dan membanding-bandingkan.
Tapi macam mana lah saya nak buat? Anak bukan boleh diseru-seru kan. Hehe…nasib saja suami saya jenis rilex dan tak pernah mengungkit.
Jadi untuk tahun baru 2022 ni, saya akan mula buat rawatan semula. Dah hampir sedekad baru nak terhegeh-hegeh kan kau. Haha ! Tak apalah.
Saya yang pilih melambat-lambatkan. Bila dah makin tua baru tersedar dari mimpi yang panjang. Mungkin seronok dengan hidup berdua. Kadang saya akui, saya selesa berdua.
Sebab tak perlu pening fikir nak jaga anak. Ya Allah… ampunkan lah hambaMu ini. Kalau dengan asbab anak Kau akan mudahkan jalan hidupku agar jadi lebih baik maka Kau mudahkan proses kehamilanku.
Jika Kau takdirkan aku tiada anak, maka Kau lorongkan lah segala kebaikan dan kemudahan. Sungguh tiada daya upaya melainkan dengan kekuasaan Mu.
Saya nak ambik kesempatan untuk doakan siapa-siapa yang dah kawin yang belum ada anak supaya dimudahkan mereka untuk dapat anak. Jangan jadi macam saya yang lengah dan malas ni.
Hehe…jangan putus asa. Kadang-kadang kita tak direzekikan anak awal, tapi kita dapat suami dan keluarga mertua yang baik. Kita diberi kehidupan yang senang. Lambat atau cepat saja.
Kalau ikut pandangan rakan-rakan semua, saya perlu rawatan alternative tak? Ada tak yang hadapi masalah macam saya? Meh kongsikan. Kita ambik pengalaman ramai-ramai.
Terima kasih !
– Akan Jadi Mak Juga