Ak dlunye seorg gadis yg brtutup aurat. Ini perjalanan pulang ak setelah ak merantau jauh di pusat bandar

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Ini adalah pertama kali saya menulis disini. Terima kasih kepada para Admin(s) sekiranya penulisan saya ini di siarkan untuk tatapan pembaca.

Tujuan saya menulis ini adalah untuk berkongsi pengalaman-pengalaman saya sewaktu tempoh saya untuk berubah daripada batil (salah) kepada haq (benar). Betul, setiap manusia tidak pernah lari dari melakukan silap, dosa, semenjak azali lagi.

Walaupun nawaitu (niat) untuk berhenti dari melakukan kemungkaran itu ada didalam hati, tapi manusia tetap akan berbuat kejahatan dan menyesalinya kemudian.

Allah itu Maha Pengampun. Selagi nyawa masih dikandung badan, selagi itulah pintu taubat terbuka luas bagi kita.

Kisah saya ini mungkin biasa bagi para pembaca, tapi ianya cukup memberi kesan sampai mati kepada saya.

Awal tahun 2011, saya diterima bekerja di salah sebuah Telco terbesar di Malaysia bertempat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

Saya yang menetap di utara tanah air, berasa teruja dan sedih dalam satu masa yang sama kerana ini adalah kali pertama saya akan bekerja jauh dari keluarga.

Selepas meminta keizinan daripada kedua ibu dan ayah saya, saya memulakan langkah untuk bekerja di sana.

15/05/2011, bermulalah cerita baru didalam kamus hidup saya. Saya asalnya cumalah seorang gadis yang cukup lengkap dalam menutup aurat. Bertudung labuh, berstoking kaki dan lengan, tak bermakeup dan memang sangat-sangat simple.

Bekerja di syarikat itu tambah-tambah lagi dibahagian “customer service” benar-benar mengubah hidup saya 100% daripada seorang gadis biasa yang tidak tahu apa-apa tentang fesyen, kepada seorang gadis baru yang mula belajar serba sedikit tentang dunia luar.

Ini kerana gaya “biasa” saya dikatakan tidak sesuai untuk imej besar syarikat telco tersebut. Dari bertudung labuh, saya perlahan-lahan meninggalkannya terus didalam almari.

Daripada berbaju dan seluar longgar, saya mula mengenakan pakaian yang muat-muat dipakai oleh tubuh saya. Muka saya yang pada awalnya suci daripada makeup juga, perlahan-lahan dioles dan diwarnakan. Saya benar-benar berubah.

Tambahan pula saya bergaul dengan staff-staff telco tersebut yang agak keterlaluan didalam segi pemakaian dan gaya kehidupan mereka.

Dari mereka lah saya mula berjinak-jinak dan akhirnya ketagih untuk ke kelab malam. Boleh dikatakan setiap malam saya akan lepak di sekitar kawasan Changkat.

Mereka yang tahu erti syurga dunia pasti akan faham keseronokan apa yang ada disekitar Changkat setiap malam. Namun saya ada prinsip saya sendiri dan berpegang kepada prinsip itu.

Saya tidak akan sesekali minum bahkan menyentuh arak dan dadah atau apa jua benda yang akan merosakkan tubuh badan saya dikemudian hari. Saya juga mula bersosial dengan ramai lelaki.

Kesemuanya adalah pendatang seperti Mat Saleh, Pak Arab, Mamat-mamat Jepun/korea tapi tidak sesekali saya benarkan Bangaladesh, Pakistan, Awang Hitam dan sewaktu dengannya mendekati saya.

Berbekalkan muka kacukan saya (jika saya tidak memakai tudung, kebanyakan orang menganggap saya adalah seorang yang berbangsa cina.

Pernah saya kelentong seorang customer luar yang saya kacukan jepun dan bulat-bulat dia percaya), saya mampu membuatkan lelaki-lelaki ini mengilai saya.

Saya pada ketika itu memang tidak pandang langsung lelaki melayu. Saya menganggap mereka ini hipokrit.

Ramai kawan-kawan lelaki melayu saya yang bekerja di sana yang sekepala dengan saya (suka enjoy di kelab-kelab malam) tapi bila nak mendirikan rumahtangga,

mereka meletakkan syarat hanya mahukan wanita yang kalau boleh betul-betul maksum dan suci dari kekotoran dunia sedangkan mereka sudah lama sebati dengan kekotoran tersebut.

Bagi saya itu sangat-sangat hipokrit. Dalam pada itu, sepanjang 3 tahun saya di ibu kota, saya kerap bertukar-tukar pasangan. Saya sendiri menganggap mereka ini seperti hentian persinggahan sementara saya sahaja.

Taraf hidup saya agak mewah ketika itu kerana saya juga mempunyai beberapa “sugar daddy(s)” pak arab yang dengan senang-senang hati menunaikan segala apa keinginan saya.

Dasyatkan? Perempuan jalang adalah panggilan yang paling serasi dengan saya (nauzubillah).

Waktu saya bersendirian, saya ada terfikir, sampai bila nak hidup dalam dunia maksiat, dunia dosa. Saya juga takut mati tanpa sempat bertaubat. Saya takut diseksa.

Saya terfikirkan apa perasan keluarga saya jika tahu perkara sebenar tentang saya. Tapi bila saya kembali dikelilingi oleh mereka-mereka yang jauh dengan Pencipta, saya juga terpalit sama.

Benarlah kata orang, hidayah Allah itu datang disaat kita sendiri tak sangka-sangka. Beberapa hari sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun 2013, saya kehilangan seseorang yang amat bermakna didalam hidup saya.

Pak Ndak saya menghembuskan nafas terakhirnya ketika usianya belum pun mencapai 40an. Memang kehilangan dia betul-betul memberi kesan emosi kepada saya.

Selama beberapa minggu saya berfikir jauh. Sangat-sangat jauh tentang perjalanan hidup saya yang sudah lama menyimpang. Saya mula mencari jalan pulang.

Pertama kali saya solat dalam tempoh 3 tahun tu, saya menangis semahunya. Salah satu punca kerana saya terlalu malu dengan Allah, saya solat tanpa tahu arah mana kiblat didalam rumah.

Bacaan solat saya pun berterabur. Saya ambil wuduk pun tak ikut step. Allah, malu sungguh saya ketika itu.

Didalam sujud terakhir, saya melepaskan semua tekanan dan rasa bersalah saya diatas setiap kekhilafan saya sepanjang tempoh 3 tahun ini.

Selepas dari itu, saya nekad. Saya berhenti kerja dan pulang ke utara.

Saya tinggalkan pekerjaan yang memberikan saya pendapatan hampir RM4k sebulan dan segala kemewahan dan sanggup memilih pekerjaan yang bergaji hanya RM900 sahaja.

Agak sukar untuk saya pada mulanya kerana 80% gaji saya habis semata-mata kerana membayar pinjaman kereta tetapi saya benar-benar nak berubah.

Semua baju-baju saya ketika di KL dulu saya bakar. Saya tak peduli harganya mahal atau branded yang dikenali.

Saya tidak sanggup sedekahkan kepada orang lain kerana baju-baju tersebut sememangnya layak dilabelkan “pakaian yang tidak menepati syara’ “. Saya buang semua kawan-kawan yang ada kaitan dengan waktu silam saya.

Bukan bermaksud mahu putuskan silaturrahim, tetapi saya tidak mahu lagi terjebak kerana saya adalah seorang yang sangat mudah terikut.

Pada akhir tahun 2015 juga, Allah telah mengizinkan saya untuk menunaikan umrah. Asalnya ibu saya sepatutnya pergi bersama-sama dengan ayah tetapi disebabkan ayah ada urusan lain, ibu mempelawa saya menjadi pengganti ayah.

Allah, saya tidak pernah terfikir untuk menjejakkan kaki tanah suci dalam usia muda ini tetapi perancangan Allah itu adalah yang terbaik.

Memang saya rasa sangat-sangat kerdil, kotor dan tidak layak langsung untuk kesana tetapi Allah memberikan saya peluang untuk saya mencari diri saya yang hilang.

Banyak halangan yang perlu saya tempuhi dari saat saya mengisi nama diatas borang Jemaah sehinggalah saya sampai disana.

Tetapi saya tetap yakin dan percaya bahawa Allah telahpun “mempelawa” saya kesana, apa lagi halangan yang tidak mampu saya atasi?

Bukankah ujian Allah itu tidak akan melebihi batas yang mampu kita hadapi? Doa juga adalah salah satu senjata terhebat yang Allah berikan kepada hambaNya.

Jadi, gunakanlah setiap masa, tanpa mengira tempat. Disana, Melihat Kaabah berdiri teguh didepan mata saya membuatkan saya rasa sayu. Baiknya Allah kerana memudahkan perjalanan saya untuk kesini.

Begitu juga ketika berada di Madinah, perasan malu terhadap Rasulullah SAW datang membuak-buak. Saya mengaku, saya sangat-sangat berdosa. Saya zalim terhadap diri saya sendiri.

Kini, sudah hampir pengakhiran 2017, Alhamdulillah sudah 4 tahun saya meninggalkan kisah silam saya yang merosakkan.

Saya kini lebih tenang bersendirian. Walaupun usia sudah hampir mencapai 30an, saya masih lagi sendiri.

Bukan tak bernafsu, bukan tak ada keinginan, tetapi saya rasa cukup tak layak untuk menjadi isteri mahupun ibu kepada anak-anak yang bakal lahir dari rahim seorang wanita yang pernah hanyut dengan dunia.

Sedangkan status sebagai seorang anak pun saya gagal penuhi dengan baik. Sehingga kini saya masih lagi berasa kotor dan masih lagi tidak layak walaupun mencium bau syurga Allah.

Jadi, apa yang saya nak huraikan disini, kita sebagai manusia tidak tahu tahap mana kita akan sampai.

Adakah kita akan mati ketika usia tua atau muda. Untuk mereka yang masih leka, nasihat saya, kembalilah kepada Allah. Dunia ini adalah ujian semata-mata.

Jangan terpedaya. Masih belum terlambat untuk bertaubat. Untuk mereka yang tidak pernah merasa seperti mana saya rasa, janganlah menghina.

Jangan mencaci. Doakan saja dan cuba dekati mereka. Pelan-pelan bawa mereka “pulang”. Awak semua tidak tahu perit dan kesungguhan yang dilalui untuk melawan nafsu ini.

Diakhir tulisan saya ini, saya mendoakan semoga Allah merahmati kita semua.

– Ukhti RaRa