Salam semua. Ini bukan kisah saya. Tapi ia kisah ibu saya dan ayah saya dan juga ibu tiri saya. Ibu saya isteri pertama dan ibu tiri yang kedua.
Ibu dan ayah bercinta sebelum berkahwin, suka sama suka. Ibu suri rumah, ayah anggota tentera berpangkat biasa.
Ibu dari selatan, ayah pula dari utara. Ibu dari keluarga sederhana tapi ada lah sedikit harta, ayah pula dari keluarga biasa-biasa.
Sewaktu saya kecil, memang sudah terdengar kisah ayah ada perempuan lain. Semenjak kecil, saya trauma mendengar satu nama. Ya, itu lah nama ibu tiri saya. Saya tak suka mendengar nama dia.
Sebab saya tahu dia ambil ayah saya daripada kami sekeluarga. Saya anak sulung, ada seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan.
Selalu saya melihat ibu menangis kerana makan hati dengan sikap ayah. Punca ayah ada perempuan lain kerana dia untung main saham.
Bila senang, faham-faham sajalah. Selepas beberapa tahun, saham itu rugi dan ayah tersepit kerana banyak hutang yang perlu dibayar.
Gaji angg0ta tntera berpangkat k0peral tahun 1994 berapa lah sangat. Tapi nama ibu tiri masih kedengaran dari jiran-jiran dan kenalan2 ibu. Kami sekeluarga duduk nun jauh di utara. Ibu tidak ada tempat nak mengadu.
Ayah memang jarang-jarang balik. Kadang tidur di kem. Kadang-kadang tidur di rumah nenek.
Saya dan adik-adik seminggu sekali atau dua minggu sekali baru jumpa ayah. Ayah pun tidak rapat dengan kami.
Hampir tidak pernah dia membelai atau memelok kami. Tidak ada dalam ingatan saya memori seperti itu. Semenjak saya tahun 3, ayah lebih jarang balik.
Kadang-kadang hanya sebulan sekali atau dua kali. Kami adik beradik hanya takut pada ayah sebab dia bermuka garang. Dia ada tapi seperti tidak ada dalam hidup kami.
Semakin saya membesar semakin jarang ayah pulang. Hingga semasa saya Ting 1, sewaktu itu raya puasa. Ayah ada di rumah sewaktu hari raya pertama. Ayah kata dia ingin pergi solat raya.
Bila dia pulang, dia ingin makan masakan ibu. Dia berpesan pada ibu supaya mnyediakan hidangan tersebut. Ibu pun sibuk lah di dapur menyediakan hidangan yang ayah minta.
Namun begitu, hidangan itu tidak dimakan ayah kerana ayah tidak pernah pulang ke rumah kami lagi semenjak hari itu.
Ayah ada kirimkan wang RM100 pada anak saudaranya untuk dihantar ke rumah kami setiap bulan.
Apalah nilai RM100 dengan rumah sewa, bil-bil, anak 3 orang yang masih bersekolah? Selepas 3 bulan ayah tidak pulang, ibu mula mengamuk.
Ibu pergi ke rumah abang ayah yang beristeri tiga. Huhuhu… Ibu mengatakan kalau hanya RM100 yang dibagi setiap bulan, lebih baik tidak payah dibagi.
Pembaca-pembaca sekalian, ibu tiri saya juga boleh menjaja buruknya perangai ibu saya. Memang kalau kita dengar seperti orang yang tidak bersyukur.
Tapi cubalah kita fikirkan sejenak, mengapa ibu saya bersikap seperti itu. Bayangkan semenjak saya tadika sehingga saya Ting 1. Berapa lama ibu saya telah makan hati dengan sikap ayah saya.
Sewaktu saya tahun 6, ayah telah mengaku berkahwin dengan ibu tiri saya semasa saya Tahun 4. Ayah juga berhenti tentera kerana status tidak mampu berkahwin 2.
Ibu yang memang telah menjangkakan perkara itu, tidak mengamuk bahkan minta ayah bagi nafkah yang secukupnya dan bersikap adil.
Pada mulanya, ayah balik dengan lebih kerap, dan selalu membawa kami pulang ke kampung nenek sebelah ayah.
Sebelum itu kami sudah lama tidak merasakan hal-hal seperti itu. Seronoknya hati kami kerana dapat merasakan kebahagiaan ada ayah.
Tapi tidak kami sangka semua itu tidak lama. Mungkin ibu tiri tak suka ayah menghabiskan masa bersama kami atau ayah yang tertekan dan tersepit dengan keadaan.
Kami tidak pasti apa sebabnya yang ayah meninggalkan kami. Tiada lagi ayah dalam hidup kami. Dia ada tapi entah di mana.
Selepas kejadian ibu saya mengamuk, ayah tidak lagi mengirimkan kami wang walau 1 sen. Mungkin ayah memang tidak mahukan kami lagi dalam hidupnya.
Kami membesar seperti manusia lain walaupun berada di tempat orang. Ibu lost contact dengan keluarga di selatan.
Ibu tidak ada lesen kereta. Kami juga tidak ditinggalkan apa-apa. Ada lah sebuah motor lama yang ayah tinggalkan pada ibu.
Dengan motor itu ibu cari rezeki membesarkan kami 3 beradik, menghantar kami pergi sekolah, membawa barang berniaga. Ibu seorang yang sangat kuat.
Kenalan-kenalan ibu ramai yang bersimpati dengan nasib ibu. Ada juga yang menghulur pada kami bertiga kerana kasihan.
Bapa saudara ibu tiri (kahwin dengan ibu saudara ibu tiri) yang kebetulan kenal dengan ibu juga turut berasa simpati.
Kata dia keluarga ibu tiri kuat main bomoh. Kata dia lagi , dia sendiri pun dibomoh isterinya supaya jadi b0doh.
Entah lah, kami pun malas nak fikir apa-apa. Hanya teruskan hidup kami walaupun kadang terasa sedih juga dengan sikap ayah.
Benda yang paling menyedihkan bila ada di antara kami yang bermimpi bahawa ayah sudah balik.
Namun bila terjaga dari mimpi, alangkah hampa sekali bahawa itu hanyalah mimpi semata. Mungkin kami sangat mahu ayah pulang ke pangkuan kami sehingga terbawa-bawa ke mimpi.
Selepas saya spm, ibu berjaya menghubungi semula keluarga di selatan. Sungguh gembira hati kami kerana di utara kami seperti tidak ada saudara mara. Keluarga ibu sungguh terkejut dan mrah dengan ayah.
Mereka cuba memohon fasakh tapi ayah tidak memberi kerjasama. Selepas itu saya dapat menyambung diploma di negeri yang ayah tinggal. Mungkin itu lah takdir kami.
Semasa semester 3, saya dapat berjumpa semula dengan ayah dan keluarga sebelah ayah.
Ditinggal semasa 13 tahun, berjumpa semasa saya 19 tahun. Saya berjumpa dengan pemilik nama yang saya trauma sejak kecil. Dia agak baik juga.
Dia melayan saya dengan baik. Tapi, di matanya saya tahu dia takut kalau-kalau saya marah pada dia. Hati saya masa itu seperti kosong. Saya tidak ada apa-apa perasaan pada dia.
Bagi saya, benda sudah berlalu, saya hanya lah seorang anak. Tak kan lah saya nak berceramah atau menceIa perbuatan mereka. Hati saya hanya gembira kerana dapat berjumpa ayah saya semula.
Saya ada 2 adik tiri. Saya layan seperti biasa walaupun rasa agak janggal sedikit.
Keluarga ibu saya marah pada saya kerana bersikap baik pada ibu tiri dan anak-anaknya. Kata mereka, saya patut rasa marah dan menegur ibu tiri yang merampas ayah saya.
Dia melayan saya dengan elok, saya rasa tidak patut pul saya membalas nya dengan kata-kata tidak elok. Entah lah, mungkin saya salah.
Suatu ketika, tanpa saya bertanya, ayah berkata. Tapi bukanlah di rumahnya. Sewaktu itu di rumah nenek.
Ayah mengatakan bahawa sebab ayah meninggalkan ibu adalah kerana tidak tahan dengan perangai ibu. Kata ayah, ibu suka mrah, berleter, suka memaki bila bergduh.
Saya diam sahaja. Mungkin itu hujah pembelaan dari dirinya. Kata ayah, ibu tiri tu ada jugak membebel tapi lebih dengar cakap dan tidak melawan.
Isteri pertama tak elok, isteri kedua lebih elok. Tapi jika ibunya yang tidak dia berkenan, mana pula hak anak-anak.
Jika ingin buang ibunya, apakah anaknya juga perlu dibuang sekali? Sungguh mudah mengatakan dia begitu dia begini. Bukankah isteri patut di didik suami?
Cuba fikirkan keadaan hati isteri pertama. Sudahlah suaminya di ambil, haknya dikurangkan dari segi nafkah zahir, batin atau masa.
Lagi lah bila suami sudah jarang-jarang atau tidak ingin lagi pulang ke rumahnya.Bukankah perasaannya sedih, mungkin suami tidak memujuk, lebih lah hatinya sakit.
Sudah tentu bila begitu,hatinya member0ntak. Tambah bila dip0ligami, lebih lah hancur berkecai hatinya.
Jika isteri pertama mengamuk, sebenarnya dia ingin dia difahami. Dia inginkan perhatian daripada suaminya.
Perempuan bila kecewa, sedih dan marah, memang dia akan buat perkara yang bukan-bukan. Semua manusia ada kekurangan, tidak ada yang sempurna.
Suami dan ayah yang tidak adil, tidak tertanggung balasannya di dunia lebih lagi di akhirat.
Ayah saya, tidak pernah senang selepas meninggalkan ibu saya. Sewaktu saya berjumpa semula dengan dia kali pertama, dia dan ibu tiri sekeluarga tinggal di rumah sewa kampung yang sudah bertahun tidak dibayar.
Selepas itu ayah membawa lori besar tapi syarikat majikan selalu tidak mahu membaiki kenderaan pekerja jadi pekerja terpaksa mengeluarkan duit sendiri.
Selepas saya tamat ijazah, ayah dapat kerja dengan gaji lumayan, sehingga dinaikkan pangkat dalam masa sekejap.
Namun tidak sampai setahun, dia dibuat orang kerana cemburu. Ayah saya sekarang, tidak dapat melihat tapi dia tidak buta.
Hanya dapat melihat bayang-bayang atau samar-samar. Sudah puas dia ke sana sini berubat tapi matanya masih begitu.
Anak sulung daripada ayah dan ibu tiri terpaksa bekerja separuh masa semenjak 16 tahun kerana ayah tidak boleh bekerja.
Dia mendapat tawaran untuk menyambung pengajian, namun terpaksa ditolak kerana perlu mencari rezeki. Ibu tiri juga terpaksa menjual kuih untuk mencari pendapatan lebih.
Kami bertiga beradik juga sewaktu sekolah terpaksa bekerja separuh masa untuk membantu ibu dan ibu juga menjual kuih untuk mencari pendapatan, kerana ayah tiada di sisi.
Mereka juga menerima nasib yang sama tapi dengan ayah di sisi mereka. Allah itu Maha Adil dan Maha Melihat. Takutlah dengan balasan yang Tuhan sediakan untuk kita jika kita berbuat z4lim sesama manusia.
Sekarang saya sudah berumur 33 tahun, adik- adik saya juga sudah dewasa. Kami bertiga juga sudah berkahwin. Saya dan adik-adik saya juga setahun sekali atau dua kali saja menghulur pada ayah kami.
Saya tidak mengatakan bahawa tindakan ini betul. Tapi jika mereka merasakan kasihnya seorang ayah pada diri mereka, pasti mereka akan membalas jasa ayah mereka.
Jadi fahamilah perasaan anak-anak yang tidak mendapat hak mereka. Kami bertiga menghulur bukan kerana tanggungjawab tapi kerana belas ihsan sesama manusia.
Insyallah, saya cuba untuk memujuk hati supaya lebih mengikhlaskan diri ini supaya dapat membalas jasa ayah saya yang telah menjaga saya sewaktu kecil dulu. Sekian. Maaf jika melukakan hati sesiapa dengan tulisan ini.
– Nur.