Memang habis aku pkul suami aku ni. Aku pergi rumah perempuan tu, jumpa mak ayah dia. Aku masa tu punya lah skit hati, aku keluar terus dari rumah kami

Foto sekadar hiasan. Assalamualaikum semua pembaca. Dah lama aku teringin nak tulis pasal ni sebenarnya. Tentang kisah kami.

Kami berkenalan dalam satu program outdoor university, dua university berbeza yang jarak keduanya agak jauh.

Pertama kali aku tengok dia memang aku tak berkenan langsung sebab tengok dia pakai seluar pendek atas lutut dan waktu tu aku nampak rambut dia prang2 macam colour rambut.

Waktu program nak mula sesi baca doa, laju je dia ni lead baca doa, tak senang betul hati aku tengok dia ni, dengan seluar pendek tak tutup aurat tu. Tapi bacaan doa dia ni bukan biasa2, sebutan dia, doa dia, terkesima juga aku sekejap.

Sepanjang program tiga hari dalam hutan ni, dia ni peramah sangat, sembahyang pun dia jadi imam sentiasa, dengar suara dia baca surah cukup sempurna bacaannya.

Memasak pun dia yang jadi tukang masak, dan memang sangat sedap. cuma aku memang masalah dia duk pakai legging pendek dia atas lutut tu. Kalaulah dia pakai tutup aurat, aku rasa lama dah aku ngorat dia dulu.. haha.

Habis program, aku pun kembali ke desasiswa aku. Dua hari lepas tu dia hubungi aku atas urusan macam macam lah. Pandai la pulak dia cari macam macam alasan nak bagi boleh berjumpa.. Tapi kebanyakan alasan pasal program outdoor.

Dah jodoh, kejap je kenalnya terus kahwin.. Zaman belajar lagi dah kahwin, muda belia lagi. Tahun 2020 ni genap 12 tahun kami bersama. Masa yang sangat lama.

Subhanallah perkahwinan usia muda dan jarak jauh bukanlah sesuatu yang mudah. Terlalu banyak ujiannya. Kalau di ingat. Masalah kewangan yang paling utama, ye lah bila dua2 belum bekerja. Macam2 kami usaha bersama mencari rezeki.

Alhamdulillah kami berjaya menghabiskan pengajian kami dalam masa yang ditetapkan dan Alhamdulillah kami berdua bekerja di bidang profesional dengan pendapatan yang agak stabil.

Kami siap buat rumah kami bersama, semua kami beli bersama perabot2 dalam rumah, bilik kami siap aku pilih warna kegemaran aku, warna biru, corak syiling lantai semua kami pilih bersama, 2015 anak kami dah 3 orang. Cukup sempurna hidup kami.

Suami ku juga antara orang yang disegani didalam komuniti masyarakat kami, dia sentiasa jadi imam di surau kampung kami, raya kadang2 dia yang baca khutbah. Terlalu sempurna suamiku ini di mata orang.

Ciri dia yang ni juga yang buat aku jatuh hati kat dia sebenarnya.. Kadang2 aku mengaji sorang2 dia duduk dengar sambil main telefon pun dia boleh tegur lagi tajwid bacaan aku..

Oh ya, suami aku dah tak pernah pakai seluar pendek atas lutut lagi, itulah kali terakhir dia pakai seluar macam tu. aku ada tanya juga kenapa pakai seluar pendek atas lutut waktu mula jumpa hari tu, dia kata dia tersalah bawa seluar..

Habis ujian kewangan, ujian lain pulak Allah bagi. Suami aku ni memang masalah dia dari awal kahwin lagi suka betul mengorat perempuan.

Tak silap aku dalam 7 orang perempuan yang berjaya aku tamatkan skandal mereka. Berapa banyak telefon dia yang aku dah hncurkan.

Jangan tanya berapa kali cerrai yang aku dah minta, tapi dia ni, tak pernah sekalipun lafaz. Sampailah perempuan yang ke lapan ni, aku tak dapat nak halang dah, sebab aku tahu setelah mereka dah kahwin. Masa aku tau ni, aku punya gile, MasyaAllah.

Memang habis aku pkul suami aku ni. Aku pergi rumah perempuan tu, jumpa mak ayah dia. Aku masa tu punya lah skit hati, aku keluar terus dari rumah kami, Sewa bilik kosong.

Aku terperap dalam bilik tu macam orang takde hala tuju, kerja pun aku tak pergi. Dua minggu aku duk dalam bilik tu. Adalah juga sekali sekala kawan yang baik datang bawa makanan.

Suami ada juga datang pujuk ajak balik. Tapi aku memang keras hati. Dua minggu tu, 10kg berat aku turun.

Sejak aku keluar dari rumah tu, sampai ke hari ini, aku tak pernah tidur lagi atau duduk rumah tu lagi. Maduku dah ambik alik bilik aku tu. Memang aku yang tak nak balik.

Beberapa mingu selepas aku tahu suami aku berkahwin lain ni, keluarga belah perempuan buat majlis kahwin diorang. Jangan tanya batapa skitnya hati melihat suami sendiri naik pelamin dengan perempuan lain, di saat pulak hati ni tengah remuk lagi.

Gile aku tak dapat kawal perasaan, aku pergi majlis mereka, aku sampai tengah berpluk nak ambil gambar atas pelamin. Agak dasyat drama yang berlaku ketika itu. MasyaAllah. Belum ditambah lagi skit hati tengok isteri dia up masuk gambar kahwin mereka di FB.

Aku pindah bawa anak2 jauh dari suami. Aku nekad nak bercerrai, setahun turun naik mahkamah urusan cerrai kami. Tak pernah sekalipun suami aku setuju nak cerraikan. Dia tetap datang melawat anak tiap bulan, bagi duit belanja.

Aku memang keras hati, dia datang aku memang tak keluar, tak tengok pun muka dia. Memang aku benci dia sangat. Kuasa Allah, tengok usaha dia, kesungguhan dia. Aku jadi lembut hati. Selepas hampir dua tahun kami baik semula.

Selepas itu hampir dua tahun dia ulang alik melawat anak anak. Jarak dia ulang alik adalah 350km, pergi balik 700km juga. Kadang dia memandu, kadang dia tak larat dia naik bus.

PJJ ni ujian ni siksa juga, tapi suami usaha juga untuk sentiasa datang, paling lama dua minggu dia Akan datang. kesian juga kadang tengok dia letih ulang alik tu.

Allah permudahkan urusan aku, aku boleh tukar semula ke tempat asal aku bersama suami dulu. Tapi aku tak duduklah dirumah asal aku, sebab dah ada isteri baru dia. Aku sewalah rumah lain.

Tibalah part yang lagi tak best. P0ligami. Madu pulak duk dekat je dengan rumah aku ni. Dalam 5 minit je. Rumah yang aku duduk dulu lah, Rumah yang sampai sekarang aku masih lagi bayar ansurannya.

Tapi sebenarnya, suamiku sudah berubah 360 darjah. Jadi suami yang sangat baik. Tersangat baik. Aku sebenarnya takut nak bercerita pasal ni, sebab bila hidup p0ligami ni, penuh dengan cemburu ni, menda macam ni pun perkara sensitif.

Ye lah kita manusia kan selalu tengok orang lain, sedangkan bahagian kita yang melimpah ruah kita tak nampak.

Aku cakap ni umum, kepada semua, kepada diri aku juga. Sebab aku pun selalu je gduh dengan suami tak puas hati macam2, cemburu bagai. sana lebih lah apa lah. Takde menda nak cari gduh pun aku cari jugak.

Suami aku ni, aku buatlah nak buat apapun, dia tak pernah bising. Aku pergi lah nak pergi manapun, dia tak pernah halang, aku nak belilah apapun, dia takkan halang.

Kadang dia bagi lagi duit. Aku nak tido dua hari tak bangun pun dia tak marah. Aku tak nak masak sebulan pun dia tak marah.

Aku bungkus lauk kat kedai tiap hari pun takpe, dia tetap akan makan tanpa komen apa2. Aku masaklah tak sedap macam manapun dia tak pernah komen, dia makan je.

Kadang aku tak mampu habiskan sebab teruk sangat rasanya, elok je dia habiskan sepinggan. Sampai kadang aku terfikir, suami aku ni dah kena mandrem dengan aku ke, hahaha. Dan yang memang dari dulu, dia pandai masak, dia akan selalu masak apa yang aku minta dia masak.

Aku ni je yang setiap hari kerja buat dia saakit hati, ade je menda yang aku nak ungkit, ade je menda yang aku nak cari gduh.

Kadang mai angin aku, aku maki hamun dia tak ingat dunia dah. Dia diam je, sabar dia tahan marah, sampai merah merah telinga, paling teruk dia keluar rumah naik kereta. Lama sikit dia balik semula.

Tak pernah tak adil giliran bermalam dia. Dah bertahun tahun sejak dari aku kerja jauh tu lagi, tak pernah dia lupa setiap malam mesej i love u dan telefon sebelum dia tido kalau kami tak tido sekali.

Walaupun kadang mai angin aku, berhari hari aku tak balas pun mesej dia. Dan dia tak pernah marah pun. Sentiasa dia mesej minta maaf salah silap dia. Tak pernah dia jemu mesej aku.

Aku boleh kata, dia kenal aku sangat2. Takde orang lain yang kenal aku sebaik dia, dia tau semua aku suka makan, dan dia tak pernah lupa untuk beli special part yang aku punya kalu dia keluar beli makanan, selera kami berdua jauh berbeza..

Dia tau gane nak handle kalau aku mai gila aku. Dia memang tahu mamacana nak beli jiwa aku time aku stress pasal kerja.

Buat suamiku, terima kasih kerana sentiasa sabar denganku, sentiasa redha, sentiasa memaafkan, sentiasa ada setiap saat aku perluukan mu. Sentiasa memenuhi permintaan aku.

Terima kasih, sampai ke hari ini masih menjadi sahabat aku. Sentiasa menjadi imam solatku, menjadi guru dalam setiap keputusan ku, terima kasih atas nasihatmu.

Memang aku sentiasa seperti budak kecik bersamamu walau dunia luar melihat aku seorang insan hebat dan kuat. Hanya kamu yang tahu betapa tidak sempurnanya diri ini.

Minggu lepas ibu mertuaku mngal dunia. Melihat suamiku meguruskan segala urusan arwh, dari mengesahkan kematian, laporan p0lis untuk dapatkan sijil, urusan memandikan dan mengkafankan, solat jnazah sampailah memasukkan aruwah ke liang lahad, dan menanam aruwah, semua dia uruskan.

Aku yang melihat dari jauh di tanah perkuburan ketika kamu di dalam liang lahad. Hanya satu doaku, semoga jodoh kita ini sampai ku menutup mata, dan kamulah yang menghantarku ke tanah perkuburan dan memasukkanku ke dalam liang lahadku. InsyaAllah.

Aku minta maaf banyak, aku memang isteri yang tidak sempurna buatmu. Terima kasih atas segala kebaikanmu. Hanya Allah yang mampu membalasnya

PART 2, sambungan dari kisah ini

Assalamualaikum..Kiriman pos yang pertama telah mengundang banyak kec4man dan hinaan baik kepadaku mahupun suami, sehingga aku memilih untuk menutup mata dan tidak lagi meneruskan pembacaan.

Benarlah kata orang-orang terdahulu, berpoligami ini, perlulah ilmu yang tinggi untuk menghadapinya, jika memandang enteng, harusnya tergelincir ke landas yang tak bertujuan dan hanya mengundang lebih banyak fitnah dari kebaikan

Boleh jadi kerana telah ramai isteri yang teraniaya disebabkan tingkah laku suami yang memilih untuk berpoligami namun tidak mengikut syariat Islam yang sebenar menjadikan isu poligami isu yang sangat sensasi dan bukanlah perkara biasa untuk dibincangkan secara umum.

Walaupun pada olahan sesetengah wanita, lantang bersuara, tidak menentang poligami, jauh disudut hati, hanyalah bibir yang berbicara.

Dari amatan, sepanjang-panjang baris nukilanku, hanya satu perkara yang menganggu tumpuan kalian, hanya satu perkara yang menjadi persoalan buat kalian iaitu “RUMAH”. Baiklah, akan ku ceritakan perihal yang menjadi kecelaruan itu, silap ku lah yang tidak berterus terang dari awalnya.

Sebelum perkahwinanku dengan suami, suami telah pun menetapkan syarat, jika berjodohan aku dengannya, dia meminta tidak lain, hanya untuk tinggal dirumah pusaka milik keluarga sesudah berumahtangga.

Ini kerana dia masih mempunyai tanggungjawab keatas 5 orang adik beradiknya. Ibu dan ayahnya juga sudah uzur, 3 adik beradik lainya mengalami palsy. Menjadi tanggungjawabnya sebagai anak lelaki bekerjaya untuk menjaga amanah-amanah dari kedua ibu bapanya.

Aku menerima baik permintaan suami, aku memahami tanggunjawabnya, sedikit pun tidak menjadi isu dalam rumah tangga kami berdua.

Rumah keluarga suami didalam kawasan bendang, dengan sistem saluran air yang tidak sempurna, perparitan yang selalu menjadi masalah bila tiba musim bah, rumah akan ditenggelami air, rumah ini yang pertama dilanda bah, juga yang terakhir surutnya air.

Belum cerita mengenai pendawaian elektrik dalam rumah, silap haribulan, boleh berlakunya litar pintas. Kawasan dapur yang rendah, seringkali air parit membasahi lantai dapur. Membawa air limbahan parit.

Tidak sedikit pun ku menghina atau memandang rendah akan kedaifan rumah suami dan keluarganya menetap sejak dari kecil, aku cuma merasa kasihankan ibu dan ayah mertuaku yang sudah pun uzur menongkat bumi, bersusah payah pula untuk menjaga 3 orang anak yang oku, yang tiada keupayaan bergerak dengan sendiri tanpa bantuan.

Anak-anak yang dewasa hanya dapat membantu ketika malam hari, sesudah pulang dari kerja, begitu juga aku dan suami, hanya dapat meringankan beban ibu ayah usai pulang kerja. Aku jarang dapat membantu, kerana tuntutan kerja yang terlalu padat sehingga suami banyak mengambil alih urusan rumah tangga sedikit semi sedikit.

Oleh kerana rasa tanggungjawab dan kasih kepada keluarga suami ku, aku menawarkan untuk membuat pinjaman peribadi untuk mengubahsuai rumah pusaka itu kepada rumah yang boleh diduduki dengan selesa buat semua ahli keluarga.

Memandangkan aku dan suami telah pun menetapkan nekad akan menghabiskan masa usia ku disini kelak. Pinjaman lulus sebanyak RM150k, dan bayaran ansuran ditolak dari bayaran gajiku.

Ketika pinjaman dibuat, suami masih lagi bergelut dengan kerjaya, walaupun bidangnya professional, namun dia masih baru dalam kerjaya yang diceburinya.

Rumah itu dibina dengan sempurna, mengikut keselesaan yang ditelah dibincangkan mengikut pandangan ibu dan ayah.

Tanah ditambak lebih tinggi untuk mengelakkan air parit melimpah, semuanya seperti membuat rumah yang baru, yang lebih selesa, dengan kemudahan bilik air yang mencukupi buat semua ahli keluarga, tidak perlu lagi berebutkan bilik mandi ketika waktu pagi.

Bilik-bilik yang selesa juga buat adik-beradik oku nya. Rumah itu dilengkapkan dengan kesemua perabut baru, dari ruang tamu, ruang setiap bilik sehinggakan dapur juga diubahsuai sepenuhnya.

Sememangnya cantik kerana mengikut citarasa yang ku suka. Rumah yang kuceritakan itu, bukan lah rumah milik ku sepenuhnya, juga hanya menumpang disitu, bila merasa tiada keperluan berada disitu, kaki ku langkah pergi juga.

Rezeki ku dan suami Alhamdulillah, bertambah baik dari semasa semenjak kelahiran anak yang pertama dengan kerjayaku, gajiku mencapai belasan ribu untuk sebulan, namun suamiku lebih lagi, boleh jadi rezekinya bertambah-tambah kerana khidmat berbaktinya kepada keluarga.

Walaupun, ansuran rumah itu ditolak dari gaji ku, suami ku tanpa gagal membayarnya kembali sedari dulu sehingga kini. Sebab itulah tidak pernah menjadi isu, tentang pembayaran ansuran rumah. Isu nya cuma simadu yang menetap disitu, bukan diriku.

Seperti yang sedia maklum, dari urusan bayaran sewa rumah yang ku menetap kini, bil elektrik, bil air, astro, penapis air cuckoo, belanja makan dan minum, semua suami yang bayarkan. Kemudahan telefon bulanan juga suami yang membayarnya sejak dari awal perkahwinan sehingga ke anak 3.

Boleh dikatakan, keseluruhan gajiku kini, hanya digunakan untuk keperluanku shopping, travel, outdoor aktiviti dan juga bantuan pebelanjaan untuk kedua ibu bapa kandungku sejak aku mula berpindah ke sini. Soal duit, tidak pernah menjadi permasalahan kepada kami berdua.

Cuma dahulu, semasa berjauhan, ketika waktu pergduhan, aku mengabaikan dia sepenuhnya, langsung tidak meminta wang kepadanya, duit yang diberi kepadaku, ku guna tapi tidak meminta lebih, mungkin kerana aku mampu, dan dia juga ada tanggungjawab yang baru.

Rumah yang ku sewa kini, jauh lebih cantik berbanding rumah pusaka itu, rumah 2 tingkat yang lebih selesa, walaupun rumah sewa, aku senang disini. Dan si madu itu juga nampaknya tidak senang duduk dirumah pusaka itu.

Dahulu sebelum kamu beriya nak berkahwin dengan suami ku, tak pernah kamu lihat kah keluarganya, membuta tuli menyondol suami orang.

Nampak indah ya, orang lelaki hebat berkereta mewah, mempunyai firma sendiri, tokoh masyarakat pula, disegani komuniti, tak kira dah suami orang beranak 3 sekalipun, asalkan dapat merasa manisnya kesenangan. Tapi dia tidak tahu, bermulanya kami suami isteri dengan “nothing”.

Kami berkahwin semasa masing-masing masih belajar, perkahwinan kami juga ala kadar, hanya dilengkap dengan mas kahwin dan kenduri kecil sudah memadai. Tanpa wang hantaran disediakan, aku tidak meminta lebih, kerana suami ku juga bukan lah mampu ketika itu.

Pengajian aku tamat lebih awal berbanding suami. Semasa ketiadaan suami, aku lah yang bergalang ganti menguruskan rumah pusaka itu dengan oncall berterusan selama 36 jam, sedikit pun tidak aku keluh kesahkan. Ikhlas sepenuh hati menjaga mereka seperti ahli keluarga sendiri.

Bila suami berkahwin dengan maduku, aku mengambil langkah yang lebih panjang, mngalkan segala yang pernah aku abadikan, tidak salah aku tinggalkan semuanya, kerana hati ketika itu telah pun luukanya terlalu dalam. Biarlah maduku pula yang menjadi teraju dirumah itu.

Madu ku itu tidak bekerja, bolehlah dia membantu sepenuhnya, melengkapkan segala keperluan dirumah itu. Aku tenang-tenang sahaja berteman kan anak-anak disini. Masa berpenat lelahku sudah habis, kini biarlah dia pula yang berbakti.

Namun dari penceritaan mereka yang masih tinggal dirumah itu, madu ku tidak mempedulikan mereka yang lain, makanan dan minuman juga disorokkan dipeti ais didalam bilik, bilik tidurnya pula dilengkapi dengan siaran Astro, tv diruang tamu hanya dilengkapi siaran percuma.

Suami ku yang memasak dan menyediakan masakan untuk mereka didalam rumah itu. Adik-beradik yang OKU langsung tidak pernah dibantu untuk diurus. Suami lah yang terpaksa menguruskan semuanya. Tidak aku bergembira pun bila mendengar perihal isteri baru suamiku itu, aku cuma kasihankan suamiku.

Aku tahu, alasan utama mengapa dia memilih untuk berkahwin kali kedua adalah kerana tuntutan kerjaya ku yang tidak menentu, terlalu sibuk sehinggakan tiada ruang untuk aku temani dia sepanjang malam. tiada sempat memasak makanan untuknya, persiapkan baju nya, dia perluukan seorang isteri yang boleh menemaninya sentiasa.

Disebabkan itu, dia berkahwin untuk kali kedua, berangan-angan akan ditemani sesudah perkahwinan yang baru. Malangnya, jauh panggang dari api, setiap hari ada sahaja yang digduhkan, sehinggakan rumah ku inilah menjadi tempat rehat buat suamiku.

Tiada apa yang kuminta dari suami namun dia terlebih dahulu telah pun membeli sebidang tanah untuk dibina sebuah rumah buat keluarga kecilku, proses pembinaan kini terpaksa dihentikan kerana arahan PKP oleh kerajaan.

Seawal perkahwinan lagi, sememangnya impian kami untuk mempunyai rumah berhalamankan sawah padi. Suami sedaya upaya cuba untuk memenuhinya, dan aku percaya, dengan simaduku juga dia telah berbuat janji, cuma aku tidak akan pernah bertanya. Berkongsi suami, tidak pula berkongsi cerita.

Kebahagian yang semakin hari aku kecapi, tidak aku merasa datangnya kerana kehadiran rumah yang cantik, dengan adanya wang yang banyak tersimpan mahupun seorang suami yang tidak dikongsi.

Kebahagiaan bagi ku itu sekadar aku merasa kecukupan dan syukur dengan yang telah Allah swt kurniakan pada ku tanpa ku pinta. Nikmat Aku manakah yang kau dustai.

Berkenaan dengan anak-anak, ada yang berpesan, jaga lah anak dengan elok-elok, kasihan pada anak-anak. Tidak salahkan kalian, kerana kalian tidak mengenaliku, disini biarlah ku bercerita sedikit sebanyak perihal anak-anakku, tidaklah membangga diri, hanya bersyukur, Allah permudahkan segala urusan dalam membesarkan anak-anak.

Anak-anakku dikurniakan dengan sahsiah akhlak yang baik, malah cerdas otaknya, perilaku yang sempurna baik dari segi akademik juga agama. Anak lelaki sulungku ini, saling tidak tumpah mengikut keperibadian ayahnya, diusia yang muda, sudah mampu menghafal Surah-surah dalam Al-Quran.

Diamanahkan sebagai pengawas dan juga ketua murid disekolah. Menyertai sukan balapan dan mewakili sekolah bagi peringkat daerah. Malah menunjukkan minat yang cenderung dalam pertandingan syarahan. Persis ayahnya yang gemar bersyarah. Menjadi imam kepada adik-adiknya ketika ketiadaan ayah dirumah.

Manakala anak perempuan yang kedua, menjadi pelajar terbaik peringkat negeri ketika di pra-persekolahan (cawangan pra-swasta) dinegeri semasa ku PJJ. Kini berada disekolah kebangsaan setelah berpindah kesini, masih juga mengekalkan kedudukan nya didalam kelas mahupun darjah. Selalu menjadi yang terbaik diantara yang terbaik.

Boleh jadi, aku diuji dengan karenah suami berpoligami, tetapi Allah swt juga mudahkan laluan ku mendidik anak, memberiku rezeki dengan soal pekerjaan, menghadirkan ku teman-teman yang rapat, yang sentiasa ada memberi nasihat jika memerluukan.

Ahli keluarga yang tidak pernah membelakangkan ku, adik beradik yang saling berhubungan dan saling mengingati satu sama yang lain. Jika lah aku menerus melayani ujian poligami yang Allah berikan kepada ku, maka terlupalah aku tentang terlalu banyak lagi perkara yang harus aku syukuri.

Ketenangan itu hadir berserta dengan redha pada ketentuan yang Allah suratkan.

Ramai juga yang menyuruhku agar mencarikan madu yang ketiga, bukan tidak pernah ku suarakan, berulang kali sudah ku pinta, mempelawanya beberapa wanita yang kami kenali, sahabat-sahabat ku yang ibu tunggal juga ku persembahkan, namun seorang demi seorang ditolaknya.

Aku bercadang ingin mengetuai rombongan meminang khas sekiranya suami ku bersetuju. Namun, berulang kali jugalah dia menyatakan dia telah serik untuk berpoligami.

Haaa… baru dia sedar, ingat mudah untuk mengendalikan 2 orang wanita, 2 orang bentuk perangai. Bertabahlah wahai suami. Ini ujian buatmu. Hadaplah bertapa siksanya untuk melayani kedua isteri mu ini dengan adil.

Hubungan ku dengan madu, sememangnya tidak baik, almaklumlah, masih baru, mungkin kerana perasaan benci itu masih tersisa, mendengar namanya pun aku tidak mahu. Aku tidak mengambil tahu walau sepatah perkara pun tentang dia, jika ada yang bercerita kepadaku tentang dia, lebih dulu aku ingatkan aku tidak berminat, adanya lebih baik aku melupakan terus.

Terkadang datang juga emosi tak keruan, berdoa yang bukan-bukan, minta Allah swt pisahkan dia dengan suami ku, tapi ku tahu, hanyalah sekadar ucapan, dihati, aku juga tidak mahu dia berpisah, perkahwinan mereka juga dikurniakan anak, membayang anak sendiri tidak berbapa, runtun hati.

Biarlah berkongsi, boleh jadi perkongsian ini baik buatku, manalah kita tahu kan. Perjalanan masa jauh lagi. Entahkan esok sudah berbaik dengan madu pun tak tentu lagi. Berdoalah yang baik-baik.

Skit hati, benci, marah itu normal, siapa yang tidak skit hatikan, suami yang disayangi, dikebas orang, Perangai apa lah rembat suami orang ni, muka tak lawa tidak mengapa, belajar tak pandai tak salah, badan gem0k bulat jalan pun berlaga peha juga tidak menjadi isu.

Yang salahnya, lepas kau rembat suami orang, kau berharap kau nak hidup selesa macam bini yang pertama? Sedangkan usaha kau membantu suami, sekelumit pun tidak.

Nak rampas suami orang, jaga lah adab dalam berumah tangga, barulah tidak menjadi umpatan orang. Ini tidak, mengadu nasib meluah difacebook kata diabai suami, dijadikan orang gaji dirumah, suami yang dikenali ramai akhirnya menanggung malu kerana ramai yang tahu hal rumah tangga.

Jika kamu membaca nukilan ku ini, berhentilah meroyan, meracau di media sosial, aku bersenang-senang dengan duit gajiku sendiri, yang ku beli, yang kupakai, ku cari sendiri, tidak mahu suami menanggung azab ketiakadilan.

Jangan kamu risau, apa yang diberi suami kepada ku, samalah apa yang diberi kepadamu. Dia suami yang baik. Dia tidak juga melebihkan sesiapa diantara kedua. Jadi berhentilah meracau-racau dimedia sosial.

Usia mu masih muda, jangan nanti malu melihat diri sendiri dimasa lalu. Jika kakak yang kau anggap aku, maka kakak yang kau dapat,

tetapi jika musuh yang kau fikirkan aku ini, maka musuh lah yang sedang kau hadapi. Muhasabah diri hendaknya.