Aku si pengemis kasih ibu. Setiap hari aku berusaha bercakap dengan ibu, tetapi tidak diendahkan. Mungkin baginya, anaknya ini yang jaahat

Aku Ann, anak sulung daripada tiga beradik, aku anak perempuan tunggal dan adik aku kedua-duanya lelaki. Kami bertiga berlainan ayah. Cukup dulu intro berkenaan diri aku. Iya… aku si pengemis kasih itu.

Sedari kecil hingga sekarang dan mungkin selamanya. Aku dibesarkan dalam keluarga yang pilih kasih. Walaupun aku satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, tetapi aku langsung tiada keistimewaan.

Aku bahkan dilayan teruk… dan yang paling mendapat keistimewaan adalah adik lelaki aku yang tengah. Segalanya adalah untuk dia, dijaga dan dibelai sepenuh hati oleh ibu aku… Oh ya! Seperti yang aku katakan, kami semua berlainan ayah dan aku tidak pernah mengenali siapakah ayah aku.

Yang aku kenal hanyalah dua orang ayah tiri aku. Ayah tiri aku yang pertama, ayah kepada adik aku yg tengah sememangnya baik. Semasa hyatnya dia layan aku bagaikan anak sendiri.

Sayang… hayatnya tidak panjang. Dan ayah tiri aku yang kedua, ayah kepada si bongsu… adalah tipikal ayah tiri, yang hanya melebihkan anaknya sahaja.

Dan ibu aku pernah berkata, si angah tu ayahnya baik… keturunan baik-baik, maka dia harus melebihkan anak itu. Dan sekarang, akibat salah asuhan, tidak pernah dimarahi, segala kehendaknya dipenuhi…hidup si anak sekarang di pusat serenti.

Bukan aku mendoakan yang tidak elok untuk adik-adik aku, tapi kenapa kasih antara kami dibeza-bezakan? Sedari kecik, apa sahaja si angah buat… sentiasa betul di mata ibu. Segala kesalahan dan yang buruk-buruk diletakkan pada aku.

Sekiranya ibu memasak makanan yang ingin aku makan pun dah seribu rahmat buat aku… tapi ianya sangatlah jarang berlaku. Aku pula, sebagai anak… tidak pernah melupakan ibu yang aku kenal sedari aku celik mata di dunia ini. Walau apa pun yang ibu buat terhadap aku…

aku tak pernah melupakannya. Kadang hal kecil pun boleh jadi punca kemarahan ibu terhadap aku. Dan berhari-hari dia tidak bertegur sapa dengan aku. Aku sendirian mencari jalan untuk berbaik dengan ibu, mengemis kasih seorang ibu.

Oh ya… akibat daripada hubungan aku dengan ibu yang sedemikian, suatu malam ayah tiri aku yang kedua hampir melakukan perbuatan sumbang terhadap aku. Mungkin fikirnya, tiada orang yang akan membela nasib aku. Dan nasib baik aku berjaya mempertahankan diri aku.

Aku lari bekerja jauh daripada keluarga buat sementara…aku jadi babysitter kepada sebuah keluarga. Biarlah kerja apa pun, asalkan aku dapat lari jauh daripada segalanya pada masa itu.

Tetapi, lumrah anak… pasti rindukan kasih seorang ibu. Walau bagaimana buruk sekali pun layanan yang aku terima, aku tetap rindukan keluarga aku. Dan sudah menjadi kebiasaan aku, andai aku jauh daripada keluarga… setiap hari aku akan telefon ibu untuk bertanya khabar.

Mungkin kalian berkata, hanya aku yang berkata buruk tentang ibu sedangkan ibu melayan ku dengan baik. Hakikatnya, hanya aku yang mengambil berat tentangnya, kerana ibu pernah berkata tanggungjawab anak la untuk menghubungi ibu… walau di mana berada… bukannya ibu yang mencari anak.

Dan sebenarnya untuk dua lagi ank lelakinya, ibu aku yang akan menghubungi mereka andai mereka jauh daripada mata ibu. Aku, anak perempuannya, pandai-pandai la nak hidup walau di ceruk mana sekalipun aku berada. Dan kalau berada di depan mata pula, seringkali hanya salah aku yang ibu nampak.

Kalau ada sesuatu hal, bergaduh… maka berhari-hari la aku dimarahi. Dan pada masa aku merajuk itu, ibu akan memasak makanan yang sedap-sedap untuk adik aku.

Aku pula tidak menjamahnya kerana tidak diajak. Takkan la aku nak buat muka tak malu, menjamah hidangan yang ibu sediakan bukan untuk aku.

Terlalu banyak drita hati aku untuk aku ceritakan dalam ruangan yang terhad ini. Dan aku merasakan akibat daripada sikap pilih kasih ini. Ke mana-mana pun aku pergi, pasti ada golongan yang tidak suka kehadiran aku di sana.

Semasa bekerja contohnya, aku tidak disenangi oleh segelintir orang… walaupun aku hanya buat hal sndiri shaja. Sehinggakan aku terfikir, kasih ibu pun tidak mampu aku raih…inikan pula orang luar.

Dalam perhubungan juga aku tidak pernah berjaya. Akan ada sahaja halangannya. Kalau ada pun tidak akan kekal lama. Aku menjadi rendah diri dengan semua ini. Kasih ibu pun tidak dapat ku raih, apatah lagi kasih orang lain.

Terlalu banyak yang aku lakukan untuk mengemis kasih ibu. Terlalu banyak aku beralah selama ini. Daripada segi pekerjaan, aku hanya bekerja biasa-biasa sahaja. Cukup la untuk menanggung diri aku dan menghulur sedikit sebanyak untuk belanja dapur.

Dan dengan hasil usaha aku, aku berjaya memiliki sebuah kereta. Bukanlah kereta idaman pun, cukup sekadar aku boleh bawa ibu aku ke mana-mana yang dia nak pergi.

Aku bersyukur aku boleh berbakti kepada ibu, walau bagaimana pun layanannya terhadap aku. Tetap aku mendahulukan dia dalam banyak perkara. Aku ketepikan kehendak dan kepentingan aku, semuanya demi ibu.

Tetapi Ya Allah… aku masih tidak mampu atau mungkin tidak layak untuk mendapat kasihnya ibu. Ibu aku akan melupakan aku bila ada yang boleh layan kehendaknya. Baru-baru ini, semasa salah seorang saudara ku dimasukkan ke wad, aku bawa ibu untuk melawat.

Keesokannya, ibu datang dengan sedara yang lain dan aku tahu lantas aku pergi kat mereka. Mengikut kata saudaraku, kalau suaminya masih tidak dapat discaj dia suruh ibu balik dengan aku memandangkan shif kerja aku pun akan berakhir tak lama lagi.

Tetapi bila aku tamat shif, aku mencari ibu di tempat yang dijanjikan… malangnya tiada. Aku telefon, tidak berjawab. Aku naik ke ward, saudara aku pun telah tiada, telah discaj. Aku mula susah hati, di manakah mereka.

Dengan susah hati, aku drive balik ke rumah. Sesampainya di rumah pun mereka tiada, rupa-rupanya mereka singgah di pasar malam. Sekembalinya ibu ke rumah aku bertanyakan hal ini… dan tanpa disangka-sangka, ianya telah menjadi kemarrahan ibu.

Apakah aku sebagai anak tidak boleh bertanyakan ibu, kerana aku risaukan ibu aku. Mungkin aku tertinggi suara kepada ibu, mungkin ibu tidak suka aku mempertikaikan perbuatannya.

Betul, ibu bersama saudara aku… tapi aku ini anaknya. Anak yang sanggup membawa dia ke mana-mana yang dia ingin pergi. Tetapi dia lebih memilih orang lain daripada anaknya sendiri.

Salahkah aku menegur ibu untuk kebaikan, salahkah aku yang risaukan ibu aku bila aku tidak dapat menghubunginya? Mungkin bagi ibu, benda ini perkara biasa… tetapi bagi aku yang bertahun-tahun mengemis kasih ibu, aku inginkan sedikit perhatian daripada ibu.

Andai ada yang mengajaknya ke mana-mana, aku ingin ibu mengatakan dia ingin pergi dengan aku, anaknya. Tetapi perkara itu tidak pernah terjadi.

Aku hanya dapat bersama ibu andai tiada orang lain yang boleh membawaknya.Seandainya ada orang lain, aku dipinggirkan. Selepas daripada peristiwa itu, aku cuba menegur ibu tetapi tidak diendahkan.

Kemuncaknya, pada malam baru-baru ini… ada perjumpaan ajk kampung di tempat aku… aku mendapat jemputan dan begitu juga ibu. Aku mengajaknya pergi bersama, ttapi ibu berkata dia ingin pergi dengan jiran aku.

Dapat dibayangkan tak, aku berusaha untuk bertegur sapa dengan ibu… mengajaknya pergi bersama-sama aku ke tempat yang sama, tetapi ibu lebih rela pergi bersama orang luar daripada memulihkan hubungan dengan anak sendiri.

Setiap hari aku berusaha bercakap dengan ibu, tetapi tidak diendahkan. Mungkin baginya, anaknya ini yang jahat, yang tidak tahu bersyukur dan tidak tahu cara untuk menegurnya. Entahlah…

Kalau nak diceritakan lagi, terlalu panjang pula confession ini nanti. Terlalu banyak peristiwa sedih yang berlaku selama aku menjadi pengemis kasih ibu… terlalu banyak sehingga tidak terhitung.

Kadang sekecil-kecil hal pun boleh menjadi punca kemarahan ibu terhadap aku. Dan akan meleret-leret sehingga tidak bertegur sapa berhari-hari. Puas aku memikirkan, terlalu besarkah salah aku sebagai anak yang inginkan perhatian seorang ibu yang dia tidak pernah dapat?

Di saat ini, di kala umur aku 36 tahun… aku tidak lagi memikirkan kasih sesama manusia, sesama pasangan hidup… kerana kasih ibu pun tidak dapat aku raih… apatah lagi kasih orang lain. Segala usaha aku untuk berbaik dengannya dipandang sepi. Dan saat ini, aku hampir putus asa utk terus mnjadi pengemis, untuk meraih kasihnya seorang ibu.

Aku hanya mampu berserah dan berdoa agar andai Tuhan mahu mengambil nywaku, biarlah semasa aku sedang tidur… kerana aku tidak mahu menyusahkan sesiapa pun untuk menjaga aku saat aku sakit dan keseorangan nanti.– ANN.