Abah cakap nk kahwin lain dengan alasan adik nk ibu. Perkataan mak tiri buat aku gerun

Kenalkan namaku A. Tahun hadapan aku akan menduduki peperiksaan besar SPM.

Ya, umurku baru menginjak 16 tahun dan aku merupakan anak sulung kepada 2 lagi adik beradik perempuan.

Suka aku tekankan aku seorang introvert. Ini pertama kali aku meluahkan di medium confession secara online.

2016. Umi disahkan menghidap knser pangkal rahim/serviks. Sudah berada pada tahap tiga. Ketika mendengar keputusan dari doktor, Abah benar benar hairan. Tiada dalam susur galur keluarga Umi yang pernah menghidap knser.

Mana mungkin boleh berlaku kepada Umi yang sangat menjaga kesihatan dan cara pemakanan yang betul? Namun takdir Allah, siapalah kita sebagai hamba untuk menidakkan setiap susun aturNya.

Hari berlalu. Segala ilmu berkaitan knser Abah pelajari. Malahan Umi juga Abah tegah untuk masuk ke dapur lagi. Ini kerana, Umi tidak lagi mampu bergerak aktif dan lincah seperti dulu.

Malahan, bau tumisan, hatta bau ayam goreng sekalipun kadang kadang mampu membuatkan Umi loya dan muntah.

Deria baunya menjadi sangat sensitif. Segala kerja rumah juga Abah yang lakukan dengan bersungguh sungguh tanpa mengeluh. Walaupun hasilnya tidaklah sekemas seperti selalu Umi lakukan.

Terkadang adik keduaku Anim (5 tahun) dan adik bongsuku Ayra (2 tahun) merengek rengek kepada Umi meminta dibuatkan cucur bilis instan berpaket biru kegemaran mereka. Hati seorang ibu, mana mungkin sanggup menghampakan.

Namun Abah menegah, risau Umi loya, muntah dan seterusnya kembali longlai di atas katil berhari hari.

Abah cuba goreng sendiri, namun percubaan pertamanya hangit dek kerana minyak yang sudah terlalu panas.

“Alamak jemput bilis Abah, jemput bilis Abah!” jeritnya di dapur sambal terkocoh kocoh mengecilkan api.

Kedua adikku ketawa terbahak bahak menyangkakan Abahku sedang membuat lawak. Aku yang sedang mengurut kaki Umi juga turut bergelak ketawa.

Umi yang terbaring di atas sofa hanya tersenyum melihat keletah Abah. Ada tawa kecil dibibirnya. Namun ada sedikit air mata yang diseka.

Pada ketika itu, aku gagal menyelami dan memahami.

Kesihatan Umi merosot dengan cepat. Benarlah kata orang, sel knser ini memang sesuatu yang sukar untuk dikalahkan.

Badan Umi mula kurus sehingga menampakkan tulang temulang dada. Bahagian perut pula mengembung dan sangat tegang apabila disentuh. Abah juga berubah penampilannya.

Daripada seorang pegawai kerajaan yang tegap dan sasa, kini agak kurus. Kulit matanya gelap dan kusam, wajahnya juga sudah kelihatan berumur daripada usia sebenar. Manakan tidak, Abah seorang diri melakukan tugas tugas menggantikan Umi.

Ditambah pula dengan jadual kem0terapi dan radi0terapi Umi yang panjang. Kadang kadang Umi dimasukkan ke wad jika bacaan drahnya tidak memenuhi syarat untuk sesi kemo. Ketika itu, Abah benar benar kuat.

Nasi bungkus adalah makanan harian, cuma menu dan kedai sahaja yang berbeza. Aku juga menjadi tulang belakang Abah dalam menguruskan adik adik kerana tumpuan Abah adalah Umi pada ketika itu.

Menjadi waris pesakit yang menunggu di perkarangan hospital adalah sesuatu yang sangat memenatkan.

Bukanku mengeluh, tapi itulah hakikatnya. Kadang kadang aku tunggu di foyer bersama Anim dan Ayra sementara Abah naik ke wad Umi. Selalunya Abah akan suruh kami tunggu bersebelahan meja security.

Pelbagai pesan Abah sematkan kepadaku dalam menjaga mereka semasa ketiadaan Abah. Mujur ada taman permainan dan vending machine, adik adikku lebih terkawal dan mudah diuruskan.

Pada malam itu, Abah meminta adik perempuannya yang kami panggil Ucu Na yang kebetulan sedang cuti semester untuk temankan kami adik beradik tidur di hotel,

Sementara itu Abah menemani Umi di dalam wad. Keletihan, kami tidur dengan nyenyak, lebih lebih lagi kedua dua adikku.

Ayra pula tidur dengan Ucu Na, tidak mahu berenggang padahal sebelum ini dia sangat takutkan Ucu Na. Aku mengerti, dia rindukan figura seorang ibu.

Lebih kurang pukul 3 pagi, Abah kembali ke bilik hotel. Diminta Ucu Na untuk tolong kemaskan baju baju kami ke dalam bagasi.

Segala makanan, botol susu, dan pampers juga terus dimasukkan kedalam plastik besar tanpa disusun elok.

Aku terpisat pisat bangun. Kata Abah, kita akan balik ke kampung Abah di daerah bersebelahan yang mengambil masa 2jam perjalanan.

Pagi menginjak tengahari. Rumah lama Abah dipenuhi ramai sanak saudara jauh dan juga jiran tetangga.

Ayra didukung oleh pakcik makcik yang tidak kukenali. Anim pula hanya duduk disebelah Ucu Na. Abah pula selepas hantar kami pulang, dia kembali ke hospital.

Masing masing bertanya Ucu Na pelbagai soalan, namun kulihat Ucu Na lebih banyak berdiam diri.

Kadang kadang dia pergi mengambil Ayra dari dukungan orang lain, dengan Anim yang asyik berjalan sambal memegang hujung bajunya.

Mereka berdua benar benar tidak boleh berenggang dengan Ucu Na lagi. Satu satunya ibu saudara kami, satu satunya adik beradik Abah.

Dalam keramaian, kami melihat kereta Abah tiba, disusuli van putih yang kemudiannya parking di hadapan rumah. Tulisan jawi nya panjang dan berantai, kucuba membacanya.

Inna-Lillahi-wa-inna-ilayhi-raji’un.

Hampir setahun melawan derita knser, Allah S.W.T menjemput Umi untuk berehat selama lamanya disisi-Nya. Meninggalkan Abah.

Meninggalkan Anim. Meninggalkan si kecil Ayra. Meninggalkan aku.

Pengebumian Umi berjalan lancar. Jnazahnya disemadikan bersebelahan pusara Nek dan Tokwan (mak dan ayah kepada Abah).

Kulihat Abah tenang. Tidak menangis, namun air mukanya redup. Semua orang datang dan memeluk Abah. Di rumah, seorang makcik yang tidak kukenali rancak memulakan bicara.

Katanya, Abah elok kahwin lain kerana anak anak masih kecil. Siang mungkin lah boleh diletakkan di nursery, akan tetapi tetap perlukan seorang ibu untuk menjaga anak anak. Kata katanya dipersetujui kebanyakan makcik makcik yang lain.

Ada yang menunjukkan gambar kawan mereka di Facebook. Katanya wanita itu sudah kematian suami, mempunyai pekerjaan yang bagus, ada kereta sendiri, tiada anak. Hanya mahukan teman sahaja.

Abah hanya diam. Aku sangat mengharap Abah untuk menjawab jawapan seperti “Tidak, saya tak akan kahwin lain”.

“Tidak, saya sayangkan isteri saya” untuk menutup mulut makcik makcik gemuk, tapi Abah hanya diam.

2017. Aku mendapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Agak jauh dari rumah. Aku mula fikirkan Anim dan Ayra. Siapa mahu tolong Abah menjaga dan menguruskan mereka?

Hatiku berbelah bahagi, namun Abah sudah mula mengeluarkan kertas a4, mencatit setiap barangan yang perlu dibeli dan dibawa.

Katanya, ini adalah jalan terbaik untukku berjaya. Berjaya menjadi pelajar yang cemerlang.

Berjaya menjadi seorang insan yang berbudi. Berjaya menjadi seorang abang dan pelindung kepada adik adikku jika Abah tiada nanti.

“Harapan Abah kepada Along setinggi gunung. Tolong. Jangan sesekali kecewakan Abah”

Berbekalkan amanat Abah. Aku mulakan hidupku di tempat baru. Misiku jelas. Belajar dengan cemerlang, ke universiti, bekerja, dan balik ke pangkuan keluargaku dalam setiap apa sahaja yang aku lakukan.

4 bulan ku menuntut di SBP, Abah menyuarakan hasrat hendak berkahwin lain. Alasannya, Anim dan Ayra perlukan seorang ibu.

Situasi sepertinya terbalik. Aku pula yang dikecewakan Abah. Namun, aku tidak bersuara. Semuanya terpulang kepada Abah. Tidak mengapa Abah ingin beristeri lagi, Anim dan Ayra tetap keutamaanku.

Berusia 27 tahun, seorang banker dan masih single. Itulah wanita pilihan Abah. Perkataan ‘emak tiri’ benar benar membuatku gerun.

Mungkin tidaklah seteruk cerita dongeng Cinderella, namun pasti berbeza dengan ibu kandung yang sebenar bukan?

Anim dan Ayra sepertinya tiada masalah membahasakannya ‘Mama’. Tetapi tidak untukku.

Lidahku terasa kebas untuk menyebut perkataan itu. Setiap kali dalam perbualan, aku pasti berusaha mengelak untuk membahasakannya. Entahlah.

Perubahan besar dan ketara dapat dilihat. Abah semakin berisi dan sihat. Kulit wajahnya kembali cerah dan ceria.

Begitu juga Anim. Urusan persekolahannya untuk memasuki SK kata Abah mudah kerana Mama sentiasa ada untuknya.

Apa sahaja urusan Anim dan Ayra, Mama ambil cuti. Pelbagai kebaikan Mama Abah ceritakan kepadaku, namun pintu hatiku masih tertutup untuknya.

Cuti sekolah. Waktu ini sebenarnya agak menyesakkan dada. Aku seperti tidak bebas di dalam rumah sendiri. Pagi, tengahari dan petang

Mama pasti sentiasa bertanyakan ku.

“Along nak makan apa. Mama masak nak?”

Dan kebiasaannya pertanyaan itu kubalas acuh tak acuh “Boleh je apa apa pun”

Kelihatannya kejam, tetapi hatiku sepertinya tertutup rapat untuk menerimanya. Dia hadir disaat aku masih rindukan Umi.

Disaat aku bertekad untuk berjaya dalam kehidupan, banggakan dan bahagiakan Abah. Namun Abah terlebih dahulu mecari kebahagiaan lain. Dan kebahagiaan Abah itu dia.

11 pagi. Ruangan dapur bergema dengan tangisan Ayra dan juga selang seli suara Mama yang meninggi.

Aku yang berada didalam bilik segera keluar ke dapur. Lantai dapur basah dan kotor dengan kordial oren.

Periuk nasi yang masih mode ON juga terbalik, memuntahkan isi nasi panas yang baru menggelegak.

Mama memarahi Ayra kerana tidak meminta bantuannya untuk mencapai botol oren, sekaligus menarik wayar periuk nasi.

Aku segera mengangkat dan mendukung Ayra yang menangis. Terkena nasi panaskah dia? Terpijak kaca kah dia? Sepertinya tidak.

Lebih kepada menangis kerana dimarahi Mama. Aku hanya menjeling Mama dan berlalu membawa Ayra ke bilik air. Ku intai kelibat Mama didapur.

Dia mengemas dapur sambil menangis. Menangis? Untuk apa menangis? Bukankah dia yang memarahi tadi? Sekali lagi, aku gagal menyelami dan mengerti tangisan seorang ibu. Kali ini, ibu tiri.

Aku penat nak taip ni. So nantu aku sambung lagi. Sambungan Liink ada di k0men