“kerja kerajaan , senang buat l0an” senang2 guna nama aku untuk buat pinjaaman untuk orang lain.Aku nekad bertindak

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Sedikit pengenalan, saya seorang ibu anak 3, pegawai kerajaan yang bersuamikan juga pekerja kerajaan. Luahan saya ini saya anggap perkongsian, pendapat, pengalaman dan juga mungkin sedikit nasihat.

Umum masyakarat kita, faham benar dengan istilah ‘kerja kerajaan , senang buat loan’. Stigma ini juga ditambah dengan ‘kerja kerajaan, banyak duit’. Saya ingin berkongsi cerita yang terjadi di sekeliling saya, yang mana saya rasakan tidak patut dan perlu diubah.

Situasi 1 :

Ketika saya masih belum berkahwin, gaji saya memang agak banyak kerana masih belum ada komitmen. Ketika itu, saya cuma ada kereta, belum membeli rumah. Saya diminta membuat loan untuk membaiki rumah arwah ibu dan ayah saya oleh salah seorang adik beradik saya.

Saya menolaknya kerana saya fikir saya sendiri belum memiliki rumah. Lagipun, rumah tersebut Cuma tinggal 2 orang kakak dan abang saya yang tidak berkahwin dan telah berusia. Isu itu tamat di situ.

Situasi 2 :

Saya diminta sekali lagi (oleh orang yang sama.. hehe) untuk pinjam nama saya kerana katanya mahu beli rumah (untuk dia diami dengan keluarganya) tetapi tiada slip gaji.

Dia berniaga kecil-kecilan. Kali ini, dia puas juga memujuk. Aduhh… saya masih menolak kerana saya sendiri pun belum membeli rumah.

Ertinya, rumah itu atas nama saya, saya bayar potong gaji dan dia bayar cash kepada saya setiap bulan. Saya fikir andai dia tak mampu bayar suatu hari nanti bagaimana. Takkan lah saya mahu suruh dia keluar dari rumah itu. Isu itu lama juga dan akhirnya diam.

Situasi 3 :

Saya enggan memberi data kepada seorang saudara saya atas alasan saya tidak mahu menjadi penjamin kepada pinjaman pembelajarannya. Tuan puan, kolej swasta ye, bayangkan berapa pinjaman yang dia perlu buat. Banyak alasan saya.

Antaranya, pinjaman terlalu mahal, saudara saya ini tidak menunjukkan keyakinan dapat result yang baik, keluarganya sendiri bukanlah berkemampuan sangat untuk menampung ketidakcukupan kos pembelajaran nya.

Andai kata dia belajar separuh jalan, tidakkah bebanan itu jatuh atas penjamin? Andai kata dia belum atau lambat mendapat kerja nanti adakah yang saya yang akan dicari sebagai penjamin?

Isu ini hangat sehingga ibunya berkata anaknya tidak dapat sambung belajar kerana tiada penjamin. Tetapi tidak pula dia nyatakan anaknya tidak sambung belajar kerana mereka sendiri tidak mampu.

Saya kah yang bersalah? Saya sendiri sudah ada komitmen rumah (agak mahal) dan sudah ada 3 anak. Komitmen saya besar, saya tidak sanggup menanggung beban. Kejamkah saya?

Situasi 4 :

Seorang kenalan saya meminjam duit dengan jumlah ribu juga. Janjinya bayar setiap bulan tetapi ada juga bulan yang dia minta skip.

Betul, saya tak kisah sebab bukan dia tak bayar tetapi cuma minta tangguh. Kenapa saya isukan juga di sini? Yaaaa….dia berhutang tetapi life style dia kalah saya yang bergaji lebih besar daripada dia.

Kenapa ye… pemikiran orang, pegawai kerajaan ini boleh diminta2 tolong, diminta pinjam duit.

Mari saya kisahkan perihal saya, saya bukanlah orang yang pandai sangat manage kewangan, tetapi untungnya saya bukan seorang yang boros. Saya ada impian dan target saya.

Saya banyak korbankan nafsu saya (biasa lah perempuan mana yang tak bernafsu kan.. haha) daripada membeli barang-barang kehendak.

Saya bukan orang yang membeli baju setiap bulan seperti kawan-kawan saya walaupun saya mampu. Saya tidak menukar beg kerja dan kasut setiap bulan atau tahun.

Saya hanya akan membeli jika perlu atau rosak. Bukan kerana berkenan sebab cantik. Tambahan pula, saya ada anak kecil, maka keperluan mereka lebih utama. Saya bukan orang yang akan bercuti setiap bulan duduk di hotel-hotel mahal atau sederhana.

Gaji saya, saya gunakan secara optimum. Rumah saya buruk kerana beli second,rumah lama,tetapi cukup besar dan selesa. Saya ada target untuk elokkan rumah saya. Justeru, saya menyimpan, jika cukup beberapa ribu saya akan buat renovation sedikit demi sedikit.

Kereta saya masih yang dahulu, dah habis bayar. Ada juga bincang dengan suami nak pakai kereta lebih besar, tetapi saya tahankan dahulu.

Setiap bulan saya bayar rumah, sedikit simpanan tabung haji untuk anak-anak saya, insurans anak2 dan pengasuh (segala bil rumah, barang keperluan rumah, susu pempes anak ditanggung oleh suami saya).

Suami saya gajinya lebih kecil, maka saya akan pastikan saya sentiasa ada simpanan untuk waktu terdesak contohnya kereta rosak, sakit demam, jika anak atau saya sendiri nak makan itu ini

(Saya tidak boros pada barang tetapi sangat tak berkira untuk makan ). Selebihnya itu lah saya akan menyimpan untuk impian saya pada rumah saya.

Tetapi yang peliknya, orang- orang di atas (peminjam), saya lihat boleh pergi bercuti weekend, boleh sambut hari jadi anak, boleh beli barang-barang rumah.

Iyeee duit dia, tapi hutang tangguh bayar. Ada juga saya lihat, jika ada majlis-majlis seperti perkahwinan, hari raya, pakaiannya hebat, mekap juga berkilat.

Wahai pembaca, saya juga pernah berhutang ketika saya sangat memerlukan. Tetapi saya berusaha bersegera membayar hutang. Tahanlah dahulu keinginan bercuti, tahanlah dahulu keinginan membeli, selesaikan hutang dahulu.

Dan janganlah kita lihat orang yang bergaji besar ini dengan senangnya pula kita jadikan sandaran untuk kita melepaskan lelah ketidakcukupan memenuhi nafsu keinginan kita.

Kita tak tahu orang yang nampak berduit dan ada simpanan ini, sebesar mana dia menahan keinginan untuk membeli. Banyak yang dikorbankan sehingga dapat mengumpul wang sejumlah begitu.

Dan masih juga menjadi kebiasaan dalam keluarga terutama adik beradik, pekerja kerajaan mesti bantu siap siaga menjadi penjamin. Jika tidak, adalah yang keluarkan ayat tidak mahu bantu adik beradik.

Ubahlah. Kita perlu hidup dengan sebanyak mana yang kita ada. Berpada berbelanja, perlu tahu apa itu kehendak dan keperluan.

Jangan diikut cara orang terutama sekali perempuan @ isteri. Biasa lah perempuan ni, banyak nafsu keinginan itu dan ini. Saya pun seorang perempuan dan isteri.

Maaf andai coretan ini menyinggung mana-mana pembaca. Cuma isu ini sebenarnya banyak berlaku dalam masyarakat. Suka berhutang (jika benar- benar susah, itu tak apalah), tetapi sebenarnya nafsu inginkan hidup mewah tu yang menguasai diri kita.

Sekian buat kali ini.

– Mawar Berduri (Bukan nama sebenar)